KUALA LUMPUR 13 Dis - CGS-CIMB Research menyemak turun penarafan sektor perkhidmatan pembuatan teknologi kepada 'neutral' daripada 'overweight' sebelum ini ekoran kebimbangan kemelesetan global an permintaan pengguna elektronik yang lemah.
Penganalisisnya, Nagulan Ravi berkata, prospek sektor itu dijangka kembali menyakinkan pada akhir separuh pertama 2023 apabila kebimbangan terhadap kenaikan kadar faedah dan kemelesetan global semakin reda yang akan menentukan semula penarafannnya.
"Kami berpendapat penilaian telah pun mengambil kira kelembapan ekonomi global dan kemungkinan permintaan akhir pengguna elektronik yang lebih lemah.
"Pada masa sama, kami juga tidak menjangkakan minat belian yang kukuh dalam sektor ini untuk tempoh satu atau dua suku akan datang, terutamanya disebabkan ketidaktentuan dalam kalangan pemain perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) di bawah liputan kami," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu meletakkan SKP Resources Bhd. sebagai pilihan utama bagi sektor tersebut dan satu-satunya saham diberi saranan 'tambah' berbanding pemain industri lain di bawah liputannya.
Ia memberi penilaian 'pegang' untuk VS Industry Bhd. manakala 'kurang' terhadap ATA IMS Bhd.
Menurut Ravi, SKP dan VS Industry dijangka mencapai pertumbuhan jualan suku ke suku yang kukuh pada suku keempat ini dengan sebahagiannya dipacu penambahan tempahan tertunggak, terutamanya menerusi pelanggan terbesar mereka.
Katanya, pertumbuhan jualan juga dibantu oleh perolehan model produk baharu pada separuh pertama 2022, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kebimbangan mengenai pesanan yang lebih perlahan daripada pelanggan lain.
"Kami menjangkakan SKP dan VS Industry akan merekodkan pertumbuhan suku keempat yang kukuh masing-masing meningkat 5% dan 10% didorong pesanan daripada pelanggan utama mereka menjelangnya musim beli-belah akhir tahun," jelasnya.
Namun begitu, beliau berkata, sentimen pengguna dalam pasaran eksport utama (Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun) bagi pengguna elektronik kekal lemah terutama disebabkan cabaran makroekonomi seperti ketidaktentuan kenaikan kadar faedah dan kebimbangan berlaku kemelesetan global.
Ravi bagaimanapun kekal negatif terhadap prospek ATA IMS ekoran kerugian akibat kehilangan pelanggan utamanya akibat dakwaan penggunaan buruh paksa.
"Kumpulan dijangka terus mencatat kerugian bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) hingga FY25 dan hanya kembali positif sebaik sahaja ia memperoleh pelanggan baharu," katanya. - DagangNews.com








