CGS-CIMB mulakan penarafan Bank Islam dengan saranan 'tambah', miliki kualiti aset terbaik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB mulakan penarafan Bank Islam dengan saranan 'tambah', miliki kualiti aset terbaik

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 17 Nov - CGS-CIMB memulakan liputan terhadap Bank Islam Malaysia Bhd. dengan saranan 'tambah' dan harga sasaran pada RM3.46 berikutan kedudukan kualiti asetnya yang kukuh. 

 

Sebagai satu-satunya institusi perbankan Islam yang disenaraikan di Bursa Malaysia, firma penyelidikan itu juga positif dengan pertumbuhan Bank Islam pada masa akan datang. 

 

Penganalisisnya, Winson Ng berkata, Bank Islam dilihat sebagai kumpulan perbankan paling pantas berkembang (dari segi pembiayaan) di Malaysia dengan menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 3 tahun sebanyak 8.1% ke atas jumlah pembiayaan bagi tempoh tahun kewangan 2020 hingga 2023. 

 

Katanya, unjuran tersebut adalah paling kukuh di dalam sektor ini memandangkan Bank Islam akan terus memanfaatkan kekuatan francaisnya dalam segmen untuk kakitangan kerajaan dan profesional. 

 

"Bank Islam juga memiliki salah satu kualiti aset terbaik dalam sektor perbankan dengan nisbah nilai kasar pinjaman yang terpaksa dilaraskan bank (GIL) berada pada paras 0.72% setakat Jun 2021. 

 

"Pada paras tersebut, ia adalah ketiga terendah dalam sektor perbankan dan kurang separuh daripada nisbah industri pada 1.62%. 

 

"Hanya Public Bank Bhd. dan Hong Leong Bank Bhd. memiliki nisbah lebih rendah masing-masing pada 0.35% dan 0.46% setakat Jun 2021," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagaimanapun, menurutnya, risiko penurunan kepada penarafan Bank Islam bergantung kepada sejauh mana langkah-langkah baharu dilaksanakan yang kerajaan boleh memudaratkan  keuntungan bersihnya dan juga tiada kenaikan OPR sepanjang 2022.

 

Pada 8 Oktober lalu, Bank Islam melakar satu lagi peristiwa penting dalam industri perbankan Islam di Malaysia apabila menjadi institusi perbankan Islam tulen dan lengkap disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia. 

 

Kejayaan itu dicapai setelah kumpulan melalui pengambilalihan status penyenaraian daripada BIMB Holdings Bhd. sekali gus menandakan muktamadnya langkah penstrukturan semula kumpulan BIMB meliputi langkah tawaran persendirian, skim pengaturan bagi melunaskan waran tertunggak dan penyusunan semula dalaman anak-anak syarikat. 

 

Menerusi langkah ini, BIMB akan menjadi anak syarikat milik penuh Bank Islam, dengan bank mengambil peranan sebagai syarikat induk. 

 

Menurut Ng, Bank Islam akan meraih manfaat terbesar sekiranya Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tahun hadapan. 

 

"Ini kerana nisbah apungan kadar pembiayaan bagi tahun kewangan 2023 (FY23) adalah pada 91.3%, terbesar dalam sektor perbankan. 

 

"Kami juga menganggarkan setiap kenaikan 25 mata asas OPR akan meningkatkan untung bersih Bank Islam sebanyak 7.1% pada FY23 (tertinggi dalam sektor)," tambahnya. 

 

Beliau turut menjangkakan untung bersih teras Bank Islam akan kembali pulih pada FY22 dengan meningkat sebanyak 2.5% diikuti 30.5% bagi FY23.

 

Katanya, ini terutamanya didorong penurunan dalam peruntukan kerugian pembiayaan (-41.7% bagi FY22/-23.1% FY23) dan kenaikan antara 6 hingga 8% bagi pendapatan pembiayaan bersih. 

 
"Ketika membuat unjuran ini, kami telah mengambil kira pelaksanaan Cukai Makmur dan juga kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas pada pertengahan 2022," jelas beliau. 

 

Dalam pada itu, katanya, ia turut mengambil kira kerugian pengubahsuaian sebanyak RM55 juta bagi FY21 ekoran pelaksanaan bantuan semula bayaran dan juga pengecualian faedah kepada B50.

 

"Tetapi, kami masih belum mengaitkan sebarang kesan negatif daripada pengecualian faedah ke atas ramalan keuntungan bersih untuk Bank Islam disebabkan ketidaktentuan melebihi magnitud dan tempoh masa.

 

"Bagaimanapun, ia boleh memberi risiko penurunan kepada unjuran untung bersih Bank Islam bagi FY21-FY22," katanya. 

 

Namun, Ng menganggarkan pengecualian faedah ini akan merendahkan unjuran untung bersih FY21 sebanyak 2.7% dengan menganggap semua kerugian pendapatan diambil kira dalam FY21 Bank Islam. 

 

Setakat 11.27 pagi ini, saham Bank Islam susut 1 sen atau 0.35% kepada RM2.86 dengan 353,700 saham diniagakan. - DagangNews.com