CGS-CIMB jangka Sime Darby Property mampu capai sasaran jualan RM2.6 bilion bagi FY22 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB jangka Sime Darby Property mampu capai sasaran jualan RM2.6 bilion bagi FY22

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Sime Darby Property Bhd. dijangka mampu mencapai sasaran jualan sebanyak RM2.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), lebih rendah berbanding RM2.95 bilion pada tahun kewangan sebelumnya. 

 

CGS-CIMB Research dalam nota kajian hari ini berkata, pada suku pertama, kumpulan merekodkan jualan baharu sebanyak RM888.9 juta. 

 

Menurutnya, di sebalik kebimbangan pelabur terhadap impak kenaikan kos bahan binaan, kadar faedah dan masalah tenaga buruh, Sime Darby Property telah mengambil langkah-langkah berkesan bagi menangani situasi tersebut.

 

Antaranya, termasuklah mempermudahkan reka bentuk produk, mencari bahan pengganti bagi mengurangkan impak kos yang lebih tinggi dan memberi apnduan margin keuntungan kasar akan berlegar sekitar 20 hingga 25%.

 

"Oleh itu, kami dapati momentum jualannya pada suku kedua adalah kukuh dan kumpulan berada dalam laluan yang betul untuk mencapai sasaran jualan bagi FY22," katanya.

 

Bagaimanapun, CGS-CIMB menyemak turun harga sasarannya kepada 70 sen daripada 84 sen sebelum ini yang mencerminkan kebimbangan terhadap sentimen pasaran yang lebih lemah ekoran kenaikan kos pembinaan, kadar faedah dan inflasi. 

 

Susulan itu, pendapatan sesaham (EPS) bagi FY22 hingga FY24 juga dikurangkan antara 18 hingga 21% berikutan kos yang lebih tinggi ini.

 

Namun, ia kekal positif dengan prospek Sime Darby Property berikutan kedudukan lembaran imbangan yang kukuh dengan penggearan bersih yang lebih rendah pada 0.3 kali berbanding pemain indusri lain, 0.34 kali. 

 

Selain itu, katanya, syarikat pembangunan hartanah itu juga menyaksikan pertumbuhan pendapatan sesaham (ESP) FY22 hingga FY24 yang kukuh bagi projek Battersea dan juga jualan. 

 

Ini membolehkan firma itu mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Sime Darby Property, yang juga dilihat akan meraih manfaat daripada permintan pensijilan bangunan hijau yang semakin berkembang. 

 

Sementara itu, CGS-CIMB berkata, projek Hab 2 Taman Logistik E-Metro (Metrohub 2) dijangka siap pada separuh pertama 2023 setelah dilancarkan pada akhir Mac lalu manakala Metrohub 1 pula dijangka siap pada 2024 apabila memulakan kerja-kerja pembinaan pada suku ketiga ini.

 

"Dalam hal ini, kami menjangkakan keuntungan beberapa pelupusan tanah pada separuh kedua ini berikutan suntikan tanah, sejajar dengan pelancaran Metrohub 1 dan 2.

 

"Kami juga mengunjurkan tambahan pendapatan kira-kira RM35 hingga RM45 juta setahun kepada asas pendapatan pembangunan bukan hartanahnya melalui yuran pengurusan dana daripada usaha sama Sime Darby Property-LOGOS SE Asia Pte Ltd. apabila taman logistik itu siap sepenuhnya," katanya.

 

Sime Darby Property menjalin usaha sama dengan LOGOS (LOGOS Property) membentuk SDPLOG bagi membangunkan Taman Logistik E-Metro di Bandar Bukit Raja, Klang dengan kerja-kerja asas tanah bermula pada April 2022.

 

Lokasi yang strategik dan ketersambungannya dengan lebuh raya utama, pelabuhan dan lapangan terbang di samping kemudahan-kemudahan logistiknya yang menarik, menjadikan ia sesuai sebagai hab rantaian bekalan serantau. 

 

Setakat 11.29 pagi ini, harga saham Sime Darby Property kekal tidak berubah pada 46.5 sen sesaham. -DagangNews.com