CGS-CIMB jangka Mynews kembali pulih pada FY23 apabila operasi cawangan bertambah baik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB jangka Mynews kembali pulih pada FY23 apabila operasi cawangan bertambah baik

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Dis - CGS-CIMB Research menjangkakan Mynews Holdings Bhd. akan kembali pulih pada tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2023 (FY23) didorong prestasi yang lebih baik menerusi operasi cawangannya. 

 

Firma itu berkata, bagaimanapun, penyambungan semula pengembangan CU secara agresif apabila masalah kekurangan buruh semakin mereda boleh menyebabkan kos operasi meningkat manakala ketidakupayaan untuk mengekalkan jualan boleh menjadi risiko utama.

 

Oleh itu, ia mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Mynews dengan harga sasaran tidak berubah pada 48 sen. 

 

"Meskipun, kami positif terhadap prestasi kewangannya pada suku keempat, tetapi kami melihat beberapa risiko negatif yang boleh mempengaruhi kumpulan. 

 

"Ini termasuklah ketidakupayaannya mengekalkan jualan selepas melaksanakan aktiviti promosi dan pemasaran yang agresif serta langkah pengembangan CU, yang boleh menyebabkan kos operasi meningkat dan menjejaskan margin," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada suku keempat berakhir 31 Oktober 2022, pengendali rangkaian serbaneka itu kembali mencatat untung sebanyak RM1.37 juta berbanding kerugian bersih RM9.03 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagi tempoh itu, pendapatan turut meningkat kepada RM180.6 juta daripada RM97.87 juta didorong terutamanya pembukaan cawangan baharu, operasi perniagaan lebih panjang dan peningkatan jualan.

 

Untuk tahun kewangan penuh FY22, kumpulan telah mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM18.17 juta daripada RM43.21 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan juga meningkat kepada RM631.33 juta daripada RM394.37 juta.

 

Setakat 9.44 pagi ini, harga saham Mynews susut 2 sen atau 3.15% kepada 61.5 sen dengan 977,100 saham diniagakan. - DagangNews.com