KUALA LUMPUR 10 Feb - CGS-CIMB Research kekal positif apabila penggabungan Celcom-Digi (CDB) selesai pada 30 November 2022 memandangkan ia mampu mencapai RM8 bilion nilai kini bersih daripada sinergi kos (tolak kos integrasi).
Firma itu berkata, sebahagian besar daripada ini akan melalui integrasi rangkaian (RM5.5 bilion), di mana 6,000 hingga 7,000 tapak (daripada gabungan 23,900) akan ditamatkan operasi menjelang penghujung tahun kewangan 2023 (FY23).
Tambahnya, tapak selebihnya adalah untuk disepadukan atau dioptimumkan dalam tempoh 24 hingga 36 bulan akan datang.
Sementara itu, RM1.1 bilion/RM1.4 bilion lagi sinergi kos akan diekstrak daripada integrasi teknologi maklumat (IT) dan lain-lain.
“Dalam jangka panjang, skala pelanggan dan kunci kira-kira CDB yang lebih besar mungkin akan meletakkannya pada kedudukan yang lebih kukuh untuk meneruskan perkongsian, penggabungan dan pemerolehan, yang boleh membantunya menarik atau mengekalkan pelanggan, serta berkembang ke pasaran rumah dan perusahaan.
Di dalam notanya pada hari ini, CGS-CIMB juga berkata, CBD yang merupakan syarikat telekomunikasi terbesar pasaran di Malaysia mampu menarik perhatian lebih ramai pelabur.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu memberi amaran bahawa pengalaman perkhidmatan boleh menjadi lebih teruk semasa integrasi rangkaian dan membawa kepada ketidakpuasan dalam kalangan pelanggan.
“Namun, kami berpendapat risiko ini boleh diurus memandangkan CDB telah menubuhkan pasukan khusus untuk menjaga pelaksanaan integrasi sistem rangkaian/IT dan akan memasukkan perjanjian tahap perkhidmatan ke dalam kontrak vendor,” katanya.
CDB juga berkata, penyatuan kad SIM berkemungkinan akan berlaku kepada sesetengah pelanggan yang menggunakan perkhidmatan kedua-dua Celcom dan Digi walaupun perkara ini tidak membentuk sebahagian besar pangkalan pelanggan gabungannya.
"Pemerolehan pelanggan dalam jangka terdekat juga mungkin perlahan kerana CDB merasionalkan saluran edarannya dan menentukur kedudukan pasaran kedua-dua jenama ini," katanya.
Firma itu menurunkan penarafan Digi kepada ‘pegang’ dan mengurangkan harga sasaran (TP) kepada RM4.15 daripada RM4.45 sesaham, berdasarkan ramalan kemerosotan pendapatan CDB selepas mengambil kira kos integrasi dan sinergi penggabungan.
“Dengan pendapatan menguncup untuk FY23 dan hasil dividen yang tidak menarik, kami melihat pemangkin penilaian semula adalah terhad dalam tempoh terdekat,” tambahnya. – DagangNews.com








