KUALA LUMPUR 8 Dis - Carsome menjalin kerjasama dengan Grab untuk melancarkan kempen 'Own Your Ride' di seluruh negara untuk memanfaatkan lebih 100,000 rakan pemandu dan penghantaran Grab di seluruh Malaysia.
Kempen ini membolehkan rakan pemandu dan rakan penghantaran Grab menikmati diskaun pembelian sehingga RM600, diskaun tukar beli sebanyak RM1,000 dan perkhidmatan selepas jualan selama setahun apabila membeli kereta Carsome Certified.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng berkata, kerjasama itu merupakan lanjutan kepada matlamat syarikat untuk membantu orang ramai maju ke hadapan dengan menawarkan ketenangan fikiran dalam penyelesaian mobiliti.
“Kami sangat teruja untuk berganding bahu dengan Grab dalam menyediakan akses kepada rakan pemandu Grab yang mencari cara baharu untuk membeli atau menjual kereta.
"Carsome Promise kami menawarkan kemudahan dan jaminan kualiti kepada mereka, sama ada untuk memiliki kereta pertama mereka atau bagi menaik taraf kereta mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Operasi Negara Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, kerjasama dengan Carsome akan memberikan rakan pemandu dan penghantaran pilihan yang lebih menarik apabila ingin mendapatkan kenderaan baharu dan akan membantu mereka menyelenggarakan kenderaan dengan kos berpatutan.
"Sebagai sebahagian daripada program GrabBenefits, kami mendengar pendapat rakan pemandu dan rakan penghantaran kami, dan mencari peluang untuk bekerjasama dengan rakan korporat yang mempunyai visi yang sama bagi menawarkan faedah yang bermakna kepada mereka, seperti membiayai kos operasi mereka semasa mereka memberi perkhidmatan kepada pelanggan kami," katanya.
Kempen ‘Own Your Ride’ dilengkapi dengan perkhidmatan selepas jualan tambahan selama setahun di samping pakej Carsome Promise.
Setiap perkhidmatan selepas jualan termasuk Leichtlauf Performance, 10W40 (4L), Penapis OEM dan Pemeriksaan 15 Titik termasuk pemeriksaan penapis udara, pembersihan dan upah buruh.
Pakej Carsome Promise, sebaliknya, memastikan setiap kereta lulus pemeriksaan 175 titik yang teliti dan dilengkapi dengan waranti 1 tahun, jaminan wang dikembalikan selama 5 hari dan harga tetap tanpa bayaran tersembunyi.
Rakan pemandu Grab boleh melihat tawaran melalui Program Ganjaran Pemandu Grab-GrabBenefits - dalam aplikasi pemandu.
Apa yang mereka perlu lakukan adalah menyimpan tawaran, melihat kereta pilihan dengan melayari www.carsome.my, pandu uji kereta pilihan mereka, dan tunjukkan kod baucar kepada Carsome Consultant semasa membuat pembayaran untuk menebus diskaun.
Kempen tersebut diadakan mulai sekarang hingga 30 April 2022. Carsome akan terus berusaha untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan menawarkan nilai tambahan dalam memberi penyelesaian kepada para pelanggan dan rakan kongsi. - DagangNews.com








