Capital A perkenal ciri Community airasia Republic pada Super App | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Capital A perkenal ciri Community airasia Republic pada Super App

(Dari kiri) Ketua Pegawai Penjenamaan Capital A, Rudy Khaw, Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pemasaran COOP, Woo Jeong Jeon dan Colin Currie
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Dis - Capital A memperkenalkan ciri seperti airasia chat, permainan dan airasia gift bagi membolehkan komuniti pengguna untuk berhubung, bermain serta berkongsi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, menjadi visi beliau menubuhkan ‘airasia community’ sendiri dan platform penglibatan, terutamanya perkhidmatan pemesejan seperti ‘airasia chat’, walaupun hanyalah sebuah syarikat penerbangan. 

 

Beliau berkata, ciri ‘Community’ atau airasia Republic adalah masa depan airasia Super App dan penting kepada semua syarikat penerbangan yang mana ia juga akan menyertakan ciri meningkatkan penglibatan serta pengalaman pelanggan. 

 

Jelasnya, ia adalah ruang airasia dapat merapatkan warga ASEAN, membolehkan komuniti berkongsi maklumat, melibatkan diri dan membina hubungan bermakna, berkongsi kreativiti dan belajar antara satu sama lain, sekaligus mewujudkan semangat kemasyarakatan kukuh. 

 

"Kami akan terus mempertingkatkan ekosistem kami, mewujudkan pengalaman pengguna berasaskan penglibatan lebih mampan, serta menjadikan Community berlandaskan cara hidup airasia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Presiden Komersial Capital A, Colin Currie pula berkata, industri pemberian mudah alih global atau e-hadiah bernilai AS$258 bilion pada 2020 dan diunjurkan akan mencecah AS$1.101 bilion menjelang 2030. 

 

Katanya, aplikasi airasia Super App menyediakan infrastruktur tepat seperti ‘airasia chat’, yang boleh memudahkan pemberian mudah alih dengan mudah, terutamanya pemberian hadiah secara rentas sempadan yang tidak dapat ditawarkan aplikasi super perjalanan lain. 

 

 

airasia

 

 

"Menjelang musim perayaan tidak lama lagi, ini merupakan masa yang sesuai untuk kami melancarkan airasia gifts di Malaysia, Singapura dan Indonesia pada hari ini.

 

"Visinya adalah memacu penglibatan dan peningkatan aplikasi pada platform, serta membangunkan produk ini menjadi platform pengiklanan kami sendiri pada masa hadapan," katanya.

 

Sementara itu, pengguna airasia Super App kini boleh mencipta profil sosial mereka sendiri dan boleh berinteraksi dalam komuniti secara sembang 1-dengan-1, berinteraksi dengan komuniti mempunyai minat sama dan memperibadikan kandungan mereka terima. 

 

Mereka juga boleh menyertai lebih 20 komuniti aktif terdiri daripada penggemar makanan, pengembara inginkan cabaran baharu dan mengikuti saluran atau ‘Channels’ untuk mendapatkan berita dan promosi terkini daripada keseluruhan ekosistem airasia.

 

Sempena pelancaran airasia gifts, pengguna boleh menikmati promosi istimewa RM1 untuk ais krim Family Mart dan RM1 Puff Nasser (karipap) dari Santan airasia. - DagangNews.com