KUALA LUMPUR 1 Jun - Firma-firma penyelidikan mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas (O&G) selepas Petronas merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM23.4 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022.
Pendapatan syarikat petroleum nasional itu juga meningkat kepada RM78.8 bilion, terutama disumbangkan oleh kesan harga untuk produk utama sejajar dengan harga penanda aras yang lebih tinggi.
Penganalisis RHB Research, Sean Lim berkata, prestasi kukuh itu menunjukkan aktiviti akan kembali rancak pada suku datang dengan menjangkakan perbelanjaan modal (capex) Petronas meningkat semula kepada paras sebelum pandemik terutamanya pada separuh kedua 2022.
Pada suku pertama, katanya, perbelanjaan capex Petronas meningkat 12% tahun ke tahun kepada RM7.4 bilion dengan segmen huluan menjadi penyumbang terbesar merangkumi 58%, diikuti hiliran (17%) dan gas (14%).
Keseluruhan capex yang dibelanjakan pada suku ini mewakili 15% hingga 19% daripada anggaran jumlah capex sebanyak RM40 hingga RM50 bilion pada 2022, dan juga mencerminkan tahap pada 2019.
"Capex domestik meningkat sebanyak 30% tahun ke tahun untuk mengukuhkan ekosistem perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE), dengan aktiviti mungkin akan meningkat pada suku akan datang.
"Kami percaya penyedia perkhidmatan huluan (berkaitan penggerudian, penyelenggaraan) akan mendapat manfaat daripada peningkatan aktiviti ini dan meningkatkan peruntukan capex domestik dengan kadar perkhidmatan yang lebih baik," katanya dalam nota kajian hari ini.
Secara keseluruhan, RHB Research memilih saham Petronas Chemicals Group Bhd. dan Bumi Armada Bhd. sebagai pilihan utama bagi sektor tersebut dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) masing-masing RM12.21 dan 58 sen.
Firma itu menjangkakan harga minyak mentah akan kekal tinggi tahun ini dan 2023 masing-masing pada AS$104 dan AS$85 setong.

Semalam, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata, walaupun prestasi pada suku pertama telah mendapat banyak manfaat daripada persekitaran harga yang tinggi, ia juga jelas menunjukkan penyampaian berdisiplin bagi teras dan strategi pertumbuhan mereka.
Di sebalik tahap pemulihan dan pertumbuhan yang dijangkakan dengan pembukaan semula ekonomi, Petronas akan terus melaksanakan pengurusan kewangan yang berhemat dan fokus yang teguh pada pelaburan semula, berikutan prospek berhati-hati kami dalam keadaan geopolitik yang tidak menentu dan peralihan tenaga yang dipercepatkan.
Sementara itu, Penganalisis Kenanga Research, Steven Chan berkata, walaupun pertambahan capex tahun ke tahun adalah positif, tetapi, lebih banyak pelaburan capex mesti dilaksanakan pada suku akan datang untuk memenuhi jangkaan setahun penuh sekurang-kurangnya RM40 hingga RM50 bilion.
Katanya, ini akan disokong oleh kedudukan tunai bersih Petronas yang kukuh kira-kira RM91 bilion, ditambah dengan tiada peningkatan dalam komitmen dividen walaupun keuntungan bertambah baik.
"Dengan jangkaan perbelanjaan Petronas akan meningkat pada suku berikutan, ini akan menyaksikan sedikit pemulihan bagi aktiviti di peringkat domestik," jelasnya.
Kenanga Research memberi penarafan Petronas Chemicals dengan pandangan 'outperform' pada TP RM11 dan Hibiscus Petroleum Bhd. (tiada penarafan) susulan kelebihannya sebagai penerima manfaat daripada harga minyak mentah yang tinggi
Sementara itu, Dayang Enterprise Holdings Bhd. (outperform, TP RM1) dan Uzma Bhd. (outperform, TP 54 sen) pula mendapat kelebihan daripada pemulihan aktiviti di peringkat domestik. - DagangNews.com








