Cagamas muktamad harga sukuk 3 tahun pada RM100 juta  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cagamas muktamad harga sukuk 3 tahun pada RM100 juta 

KUALA LUMPUR 20 Jun - Cagamas Bhd. berjaya menetapkan harga Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bertempoh tiga tahun pada RM100 juta untuk membiayai pembelian pembiayaan rumah daripada sistem kewangan.

 

Urus niaga itu berjaya ditetapkan menjelang kenaikan kadar faedah seterusnya yang dijangka dilakukan secara meluas oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) dalam usahanya untuk membendung inflasi.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong berkata, syarikat itu berbangga dengan prestasi terbitannya setakat ini, yang mencatatkan sejumlah RM7.3 bilion untuk bon dan sukuk.

 

“Walaupun persekitaran pasaran yang mencabar, sukuk syarikat terus mendapat minat daripada pelabur yang menunjukkan keyakinan dan sokongan mereka terhadap syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Fed mengumumkan kenaikan 75 mata asas dalam kadar faedah, peningkatan terbesar sejak 1994 dalam 
Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang diadakan pada 14 dan 15 Jun lalu.

 

Chee Leong berkata, terbitan itu dimuktamadkan melalui penempatan persendirian dan berharga kompetitif pada 40 mata asas melebihi Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia.

 

Sukuk itu akan ditebus pada nilai nominal penuh apabila matang dan merupakan obligasi tidak bercagar perbadanan itu, pada kedudukan sama rata dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada lain di bawah Cagamas. - DagangNews.com