KUALA LUMPUR 29 Jun - Hibiscus Petroleum Berhad melancarkan permulaan operasi projek pemampat tekanan rendah (low-pressure compressor atau LPC) di Brunei, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam usaha mengekalkan pengeluaran di medan Block B Maharajalela Jamalulalam.
Projek tersebut, yang dikendalikan oleh anak syarikat kumpulan iaitu Hibiscus EP (Brunei) B.V. (HEB), mula beroperasi pada April 2026, dengan pelancaran rasmi diadakan pada 4 Jun di Loji Pemprosesan Onshore di Lumut, Brunei.
Dalam satu kenyataan, Hibiscus Petroleum berkata projek ini mencapai beberapa pencapaian pertama dalam industri, termasuk pemampat Integrated Compressor Line (ICL) pertama di dunia yang beroperasi dalam keadaan tepu air serta pemampat ICL pertama yang beroperasi di Asia.
Selepas digabungkan dengan ladang solar 12 megawatt yang sedang dalam pembinaan, projek ini juga dijangka menjadi pemampat ICL pertama di dunia yang dikuasakan tenaga solar.
Projek berkenaan turut mencatat dua juta jam kerja tanpa insiden kecederaan yang menyebabkan kehilangan masa bekerja (lost-time injury), sekali gus melanjutkan rekod keselamatan HEB kepada 27 tahun tanpa insiden tersebut.

Pengarah Urusan Petroleum Authority, Shamir Salahudin berkata kejayaan permulaan operasi itu menunjukkan bagaimana kerjasama dan inovasi mampu memaksimumkan nilai sumber minyak dan gas sedia ada Brunei sambil menyokong pembangunan berterusan sektor huluan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Hibiscus Petroleum, Datuk Dr Kenneth Pereira berkata projek tersebut mengukuhkan kelestarian pengeluaran, meningkatkan kebolehpercayaan aset serta menyokong operasi pelepasan karbon lebih rendah melalui teknologi inovatif.
Beliau menambah, projek LPC itu telah mencatat peningkatan pengeluaran yang memberangsangkan sejak mula beroperasi, yang dijangka memberi sumbangan positif kepada prestasi kewangan dan operasi kumpulan bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 2026.
Pengurus projek, Irman Yudiana berkata pembangunan itu menekankan kepentingan strategik integrasi teknologi dan operasi bertanggungjawab dalam meningkatkan nilai jangka panjang aset HEB. - DagangNews.com








