PMW International raih kontrak RM11.84 juta Projek Infrastruktur dan Hab Gentian Optik Fasa 2 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PMW International raih kontrak RM11.84 juta Projek Infrastruktur dan Hab Gentian Optik Fasa 2

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Jun - PMW International Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, PMW Marketing Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM11.84 juta bagi bekalan dan penghantaran tiang konkrit pra-tegasan untuk Projek Infrastruktur dan Hab Gentian Optik Fasa 2 (POP2).


PMW Marketing menandatangani perjanjian bekalan dan penghantaran dengan Global Technological Support Sdn Bhd.

 

Menurut syarikat itu kontrak berkenaan, yang berkuat kuasa sehingga 31 Oktober 2026, dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Ia juga merupakan kesinambungan kepada fasa pertama projek yang sebelum ini melibatkan pembangunan POP di Kedah, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PMW International, Lee Hon Hwa berkata, perjanjian ini mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan operasi, kualiti produk serta rekod penghantaran kami, selain memperkukuh peranan PMW dalam menyokong agenda pendigitalan negara.

 

“Perjanjian ini mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan operasi, kualiti produk serta rekod penghantaran kami, selain memperkukuh peranan PMW dalam menyokong agenda pendigitalan negara,” katanya.

 

Beliau berkata, perolehan kontrak ini turut menyusuli tempahan bernilai RM11.92 juta yang diumumkan pada Mei lalu, sekali gus menunjukkan momentum pertumbuhan kumpulan dalam sektor infrastruktur.

 

Syarikat itu turut menjangkakan permintaan berterusan terhadap produk infrastruktur telekomunikasi susulan pelaksanaan program jalur lebar negara, peluasan rangkaian gentian optik serta projek ketersambungan digital seperti POP2.

 

Projek Point of Presence (POP) merupakan lokasi fizikal yang menghubungkan pelbagai rangkaian telekomunikasi kepada internet yang lebih luas, sekali gus menjadi komponen penting dalam pembangunan infrastruktur digital negara.

 

Projek POP2 pula dijangka memperluas lagi rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi melalui pembangunan lapisan gentian optik, selaras dengan aspirasi Kerangka Digital Malaysia 2030.

 

Inisiatif tersebut menyasarkan capaian internet 100% di kawasan berpenduduk, liputan 5G sebanyak 95%, serta integrasi teknologi gentian optik dengan pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur awan berdaulat tempatan.

 

Projek ini turut disokong oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Digital, dengan peruntukan kira-kira RM3.9 bilion bagi pembangunan 3,693 pusat POP di seluruh negara- DagangNews.com