PETRONAS Chemicals mungkin lepaskan 50% ekuiti Pengerang Petrochemical, HLIB anggar hapus kerugian RM600 juta setahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS Chemicals mungkin lepaskan 50% ekuiti Pengerang Petrochemical, HLIB anggar hapus kerugian RM600 juta setahun

Kompleks Tenaga Pengerang di Johor. - Gambar fail
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 29 JunPETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) berpotensi menghapuskan kerugian tahunan RM600 juta jika melupuskan 50% ekuiti dalam Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd (PPC).

 

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), langkah terbaharu itu sekali gus menjadikan cadangan pelupusan tersebut sebagai pemangkin utama kepada prestasi kewangan kumpulan daripada kerugian.

 

Syor itu ujarnya, namun dijangka memerlukan kelulusan pemegang saham minoriti dan berkemungkinan bergantung kepada penyempurnaan urus niaga yang berlangsung antara Saudi Aramco dan PETRONAS.

 

"Kami melihat langkah pelupusan ini sebagai pemangkin jangka pendek kerana akan menghapuskan beban kerugian ketara serta mengurangkan pendedahan PCG kepada risiko pertukaran asing (forex)," katanya.

 

HLIB turut menilai sebarang transaksi perlu disokong penilaian bebas dan penasihat kewangan bagi memastikan urus niaga dilaksanakan telus berdasarkan prinsip pembeli dan penjual yang bersedia.

 

Tambahnya, faktor penilaian aset dijangka menjadi pertimbangan utama kerana industri petrokimia global masih berdepan pelbagai cabaran termasuk lebihan kapasiti dan permintaan yang terus lemah.

 

Petronas Chemicals_DagangNews2026

 

Justeru, firma berkenaan menaik taraf penarafan PCG kepada 'beli' daripada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM5.56 sesaham, yang mewakili potensi kenaikan kira-kira 38.3% berbanding harga semasa.

 

"Selain itu, kami menjangka prestasi keputusan kewangan bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 lebih baik disokong oleh peningkatan harga jualan purata (ASP) bagi segmen olefin dan derivatif," kata HLIB.

 

Bagaimanapun, ia menurunkan unjuran pendapatan FY26 sebanyak 22% selepas menyemak turun andaian ASP urea kepada AS$550 (RM2,235) setiap tan berbanding AS$700 (RM2,844) bagi satu tan sebelum ini.

 

Meskipun begitu, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan PCG pada FY27 dan FY28 tanpa perubahan berikutan jangkaan pemulihan permintaan bermusim sektor pertanian untuk masa hadapan.

 

Secara keseluruhan, HLIB dalam analisisnya itu percaya kedudukan kumpulan petrokimia PETRONAS tersebut akan terus diperkukuh sekiranya pelupusan pegangan dalam PPC berjaya direalisasikan.

 

"Usaha ini sekali gus membolehkan kumpulan dapat memberi tumpuan kepada aset yang lebih menguntungkan dan meningkatkan nilai kepada pemegang saham," tambahnya. - DagangNews.com