KUALA LUMPUR 3 Okt - Bursa Malaysia terus merekodkan aliran keluar asing buat minggu keempat berturut-turut meningkat kepada RM740.6 juta, lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya sebanyak RM562.6 juta.
Menurut MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguan, pelabur asing menjual ekuiti setiap hari bagi minggu berakhir 30 September itu dengan aliran keluar paling tinggi direkodkan pada Isnin sebnyak RM208.7 juta.
Ia kemudiannya diikuti pada Rabu dan Khamis masing-masing sebanyak RM202.9 juta dan RM149.5 juta, sebaliknya Selasa dan Jumaat menyaksikan aliran keluar yang lebih rendah masing-masing sebanyak RM95 juta dan 84.4 juta.
Pelabur institusi tempatan pula menjadi pembeli bersih ekuiti sepanjang minggu lalu dengan aliran masuk paling tinggi direkodkan pada Isnin sebanyak RM224.1 juta sebelum menyederhana kepada RM36.6 juta pada Selasa.
"Pembelian ekuiti ini seterusnya kembali meningkat pada Rabu berjumlah RM177.3 juta manakala Khamis dan Jumaat menyaksikan aliran masuk sebanyak RM126.9 juta dan RM104.3 juta.
"Secara keseluruhan, pelabur institusi merekodkan pembelian ekuiti bernilai RM669.2 juta pada minggu lalu," katanya dalam laporan itu hari ini.
Firma itu berkata, pelabur runcit masih mengekalkan pembelian ekuiti buat minggu ketiga berturut-turut, dengan jumlah aliran masuk sebanyak RM71.4 juta, kira-kira satu per tiga daripada jumlah berbanding minggu sebelumnya.
"Mereka memulakan dagangan pada minggu lalu dengan jualan bersih RM15.3 juta, sebelum beralih kepada pembeli bersih dari Selasa hingga Khamis masing-masing sebanyak RM58.4 juta, RM25.6 juta dan RM22.6 juta. Kemudiannya, mereka menjual ekuiti sebanyak RM19.9 juta pada akhir minggu lalu," tambahnya.
Setakat ini, pelabur antarabangsa sudah membeli RM6.62 bilion ekuiti bagi tempoh 24 daripada 39 minggu manakala pelabur institusi tempatan merekodkan aliran keluar sebanyak RM8.89 bilion bagi tempoh 30 minggu.
Pelabur runcit pula sudah membeli ekuiti tempatan sebanyak RM2.27 bilion sepanjang 26 minggu daripada 39 minggu setakat tahun ini.
Dari segi pergerakan pelabur, MIDF Research mendapati nilai purata dagangan harian (ADTV) meningkat 8.3% bagi pelabur runcit diikuti 15.7% (pelabur institusi tempatan) dan 20.6% (pelabur asing). -DagangNews.com








