Bursa Malaysia ingatkan pelabur berhati-hati dagangkan saham Hextar Technologies | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia ingatkan pelabur berhati-hati dagangkan saham Hextar Technologies

KUALA LUMPUR 14 Nov - Bursa Malaysia Securities Bhd. menasihatkan pelabur supaya berhati-hati, dan membuat keputusan ketika menjalankan urus niaga bagi dagangan saham Hextar Technologies Solutions Bhd. (Hextech).

 

Ini berikutan kenaikan mendadak harga saham Hextech baru-baru ini, dan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa yang dikeluarkan kepada syarikat itu pada 19 dan 31 Oktober.

 

"Hextech dalam maklum balasnya berkata ia tidak mengetahui sebarang perkembangan atau penjelasan korporat yang boleh menimbulkan aktiviti perdagangan luar biasa itu.

 

"Bursa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kawal selia yang sewajarnya bagi memastikan perdagangan saham Hextech yang adil dan teratur," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Hextech yang diperbadankan pada 29 November 2005, pada asasnya adalah syarikat pemegangan pelaburan dengan aktiviti anak-anak syarikat termasuk penyediaan perkhidmatan logistik menyeluruh yang merangkumi integrasi kedua-dua perkapalan dan pengangkutan darat.
 

 

Setakat 12.35 tengah hari tadi, harga saham Hextech menokok RM1.24 atau 7.52% kepada RM17.74 dengan 85,800 saham diniagakan. - DagangNews.com