KUALA LUMPUR 14 Nov - Ketidaktentuan persekitaran luaran dijangka merencatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun hadapan di sebalik mencatat perkembangan luar biasa pada suku ketiga 2022.
Kenanga Research menjangkakan menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin berhenti seketika daripada mengetatkan dasar monetari pada Januari depan, dalam usaha untuk mengelakkan kesan kegawatan ekonomi global terhadap Malaysia pada 2023.
Menurutnya, buat masa ini, prognosis untuk ekonomi global kekal suram, terutamanya disebabkan oleh peralihan dasar China yang tidak menentu dan tekanan kemelesetan yang meningkat di Eropah, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).
"Bagaimanapun, jika inflasi teras domestik terus berlegar di atas paras 4% dalam beberapa bulan akan datang, BNM mungkin akan terus meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) untuk kali kelima berturut-turut pada Januari 2023.
"Kenaikan ini bagi membendung sebarang inflasi yang didorong permintaan, menjadikan OPR kepada 3.00%," jelasnya.
Data yang dikeluarkan BNM pada Jumaat lalu menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang 14.2% pada suku ketiga disokong oleh permintaan domestik yang berterusan, pasaran pekerjaan yang kukuh dan permintaan luaran yang mantap.
Pertumbuhan itu adalah lebih baik berbanding suku kedua 2022 yang mencatatkan pertumbuhan 8.9% dan lebih kukuh berbanding 5% yang dicatatkan pada suku pertama 2022.
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, bank pusat itu melihat beberapa cabaran terhadap pertumbuhan pada 2023, namun tidak menjangkakan kemelesetan.

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB Research, Nazmi Idrus berkata, persekitaran luaran akan menjadi penentu kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku keempat dan 2023 terutamanya ketegangan konflik geopolitik.
Antara faktor lain termasuklah sejauh mana permintaan yang kukuh dari negara ekonomi maju, risiko persekitaran kadar faedah yang tinggi dan gangguan rantaian bekalan.
"Kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas baru-baru ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada November menggambarkan keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi yang kukuh untuk suku ketiga 2022.
"Bagaimanapun, apabila kesan asas yang rendah hilang, kami menjangkakan permintaan terpendam akan menjadi sederhana apabila bank pusat meneruskan kitaran normalisasinya.
"Untuk tahun hadapan, kami menjangkakan dua kenaikan 25 bps, menjadikan OPR pada akhir 2023 kepada 3.25%," katanya.
Namun, beliau menjangkakan pertumbuhan KDNK 2022 akan melebihi unjurannya pada 7.3% sebelum menyederhana kepada 5% pada tahun hadapan.
MARC Ratings pula berkata, kadar pertumbuhan diunjur sederhana pada tahun hadapan berikutan ketiadaan kesan asas rendah serta kemungkinan ketidaktentuan luaran yang lebih teruk.
Menurutnya, impak daripada konflik Ukraine-Rusia, yang boleh menjadi lebih teruk, akan kekal mengheret zon euro, dengan Jerman, ekonomi terbesarnya dijangka menyaksikan output ekonominya susut 0.4% pada 2023.
"Selain itu, faktor lain yang akan terus mengancam momentum pertumbuhan KDNK Malaysia termasuk pengetatan monetari seterusnya di AS, harga komoditi global yang lebih rendah dan ketidaktentuan politik berikutan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
"Kami melihat latar belakang yang lemah berpotensi mengurangkan sebarang kecenderungan BNM untuk menaikkan lagi OPR, sekurang-kurangnya buat masa ini," jelasnya.
Agensi penarafan itu bagaimanapun telah menaikkan unjuran pertumbuhan penuh bagi 2022 kepada 8% berdasarkan kepada ekonomi dalam tempoh sembilan bulan yang berkembang lebih baik daripada jangkaan iaitu 9.3%.
"Bagi 2023, kami menjangkakan pertumbuhan 4.2% berbanding unjuran rasmi 4% hingga 5%," katanya. - DagangNews.com








