KUALA LUMPUR 11 Nov - Ekonomi Malaysia akan terus berkembang meskipun pada kadar yang lebih sederhana pada suku keempat 2022, di sebalik mencatat pertumbuhan 14.2% pada suku ketiga.
Kadar pertumbuhan yang dijangka lebih perlahan mencerminkan persekitaran global yang lebih mencabar serta ketiadaan kesan asas.
Bagaimanapun, pertumbuhan bagi seluruh tahun 2022 dijangka kekal kukuh berikutan pertumbuhan yang kukuh pada tiga suku pertama tahun ini.
Sejajar dengan tinjauan ekonomi 2023 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang antara 4% hingga 5% pada tahun hadapan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh berikutan pasaran pekerja yang semakin bertambah baik.
Malah, katanya, pertumbuhan juga akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek infrastruktur besar serta jumlah ketibaan pelancong yang lebih tinggi.
"Namun, pertumbuhan Malaysia masih terdedah kepada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global, konflik geopolitik yang semakin meruncing dan rantaian bekalan yang kembali terganggu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca : BNM : Ekonomi Malaysia berkembang 14.2% pada suku ketiga
Data yang dikeluarkan BNM menunjukkan ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh pada suku ketiga sebanyak 14.2% berbanding 8.9% pada suku sebelumnya.
Di sebalik terdapat kesan asas daripada pertumbuhan negatif pada suku ketiga 2021, pertumbuhan juga didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.
Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 9.3% pada tiga suku pertama 2022 setelah mencatat pertumbuhan 5% pada suku pertama.

Menurut Nor Shamsiah, inflasi keseluruhan dijangka sederhana pada suku keempat 2022, namun masih kekal tinggi.
Jelasnya, kesan asas daripada diskaun bil elektrik yang menyumbang kepada inflasi yang lebih tinggi pada suku ketiga akan reda pada suku keempat ini.
"Inflasi keseluruhan dijangka berpurata pada 3.3% pada 2022 manakala inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka terus tinggi bagi baki tahun ini apabila permintaan terus bertambah baik dalam keadaan kos yang tinggi," katanya.
Menjelang 2023, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal tinggi berikutan tekanan permintaan dan kos, serta sebarang perubahan pada langkah-langkah dasar dalam negeri.
Kesan tambahan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.
"Imbangan risiko berhubung prospek inflasi pada tahun hadapan cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi.
"Ia terus bergantung kepada langkah-langkah dasar dalam negeri mengenai subsidi serta perkembangan harga komoditi global yang berpunca terutamanya daripada konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlarutan," katanya. - DagangNews.com








