BNM dijangka mengekalkan kenaikan OPR pada 3% sepanjang tahun ini, kata penganalisis ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM dijangka mengekalkan kenaikan OPR pada 3% sepanjang tahun ini, kata penganalisis ekonomi

Tekanan inflasi akan menentukan sama ada BNM akan menaikkan lagi OPR melebihi 3% pada tahun ini. - Gambar hiasan : Facebook RapidKL
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Jan - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3% sepanjang tahun ini dengan mengambil kira tekanan inflasi yang semakin mereda.

 

Penganalisis Kenanga Research, Clement Chua berkata, pengetatan monetari kemungkinan akan berhenti pada suku akan datang selepas kenaikan 25 mata asa (bps) dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) minggu ini. 

 

Katanya, BNM hanya menaikkan OPR dengan kadar yang sederhana sebanyak 100 bps sepanjang 2022 meskipun Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) lebih tegas dalam mempengaruhi kadar dana Fed (FRR) sebanyak 375 bps pada tahun lalu.

 

"Ekonomi domestik kita masih akan berhadapan dengan tekanan inflasi tetapi mungkin pada tahap yang lebih rendah berbanding dengan rakan serantau lain, hasil daripada peningkatan yang meluas dalam pengeluaran (diterajui oleh industri pembuatan dan perkhidmatan).

 

"Disebabkan ini, kami percaya BNM mungkin mengambil pendekatan dengan memerhati kesan kenaikan kadar faedah kepada penggunaan swasta sebelum memutuskan langkah seterusnya.

 

"Tekanan inflasi hanya boleh meningkat pada suku tahun akan datang jika tekanan daripada kadar yang lebih tinggi menjadi kenyataan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Walaupun korporat telah menyatakan peningkatan beransur-ansur dalam pinjaman tidak berbayar sebagai bantuan selepas pembayaran semula, aliran tunai yang lebih ketat mungkin menekan akaun yang sebelum ini kurang membimbangkan iaitu dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah hingga sederhana.

 

Komitmen pinjaman perumahan mungkin paling terjejas, berikutan kebanyakannya membabitkan penambahan kadar asas. 

 

Chua mengunjurkan pertumbuhan pembiayaan bagi 2023 adalah sekitar 4 hingga 4.5% berbanding 5.5 hingga 6% pada 2022. 

 

"Walaupun kami berharap berlaku pembetulan selanjutnya dalam rantaian bekalan global untuk mengimbangi semula perdagangan, pemangkin utama untuk kemakmuran ialah pembukaan semula sepenuhnya China untuk memacu pasaran komoditi dan pengeluaran pembuatan," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan memandangkan ia dijangka terus berdaya tahan dalam tempoh terdekat.

 

Sementara itu, AmInvestment Bank Research menjangkakan BNM akan menaikkan kadar tersebut sebanyak 25 bps kepada 3% pada minggu ini, menyamai paras sebelum pandemik COVID-19.

 

Bagaimanapun, menurutnya, pasaran sedang membahaskan sama ada BNM boleh menaikkan OPR lebih tinggi sehingga 3.25% atau lebih. 

 

"Buat masa ini, kami mengekalkan unjuran kadar faedah ini pada 3% tahun ini. Sekiranya inflasi teras kekal terlalu tinggi untuk lebih lama daripada apa yang kita jangkakan pada masa ini, maka kebarangkalian kenaikan lagi 25 bps tidak seharusnya diketepikan," katanya. - DagangNews.com