Bintai Kinden raih kontrak daripada TNB bernilai RM14.2 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bintai Kinden raih kontrak daripada TNB bernilai RM14.2 juta

Oleh DIYANA ISAMUDIN

PETALING JAYA 10 Feb - Bintai Kinden Corporation Berhad, menerusi anak syarikatnya, Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn. Bhd. (KBK) memperoleh kontrak bernilai RM14.2 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini.

 

Projek tersebut melibatkan pemasangan dua ruang suis penebat udara ruang pengubah 132kV lengkap dengan kabel utama dan kedua serta semua kerja awam yang berkaitan di Pasir Besar, Negeri Sembilan.

 

Skop kerja bagi projek ini termasuklah bangunan 33kV, dua transformer tempatan 300kVA 33/0.415kV, bar bas tunggal 33kV GIS, 33kV CRP, 33kV RTU, 33kV SIP dan MPE 33kV, sistem pembumian neutral, sambungan sistem pembumian, sistem perlindungan kilat, kerja sekunder yang berkaitan (perlindungan & telekawal) dan kerja kabel bawah tanah yang berkaitan untuk pengubah kuasa, pengubah tempatan dan bus-tie.

 

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan TNB kerana kedua-dua pihak mempunyai hubungan kerja dan rekod prestasi yang baik sejak beberapa tahun lalu. 

 

Katanya, pemberian kontrak itu juga merupakan bukti kepakaran dan pengalaman syarikat dalam perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal termasuk reka bentuk, pemasangan dan pentauliahan.

 

 

Azri Azerai
Azri Azerai

 

 

"Syarikat telah mengembangkan rangkaian kepakaran melalui pelaburan dan pengambilalihan yang memanfaatkan kelebihan dan rangkaian pasaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

“Kami mempunyai rancangan jangka pertengahan hingga panjang untuk berubah menjadi pakar perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal pelbagai disiplin yang turut merangkumi perkongsian strategik seperti yang kami tandatangani dengan Sarawak Consolidated Industries Berhad baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bintai Kinden telah terlibat projek TNB yang lalu termasuk stesen pensuisan 132kV Kuchai Lama, stesen pensuisan MRT Bukit Serdang 132kV, kabel bawah tanah litar tunggal 132kV dari PMU Galloway ke PMU KLCC2 dan sambungan bekalan pukal 132kV ke stesen penyuap KTMB Sentul.

 

Jumlah nilai kontrak yang belum dibilkan di bawah segmen mekanikal dan elektrikal syarikat tersebut adalah sebanyak RM143.41 juta. – DagangNews.com