Bilangan penganggur terus berkurang kepada 596,100 orang pada Januari 2023 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bilangan penganggur terus berkurang kepada 596,100 orang pada Januari 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Mac - Bilangan penganggur pada Januari 2023 terus berkurang kepada 596,100 orang dengan mencatatkan kadar pengangguran berjumlah 3.6%, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pada Januari 2023, pasaran buruh negara terus berada pada trend yang menaik berikutan peningkatan kedudukan aktiviti ekonomi semasa, selari dengan perkembangan ekonomi global.

 

Oleh itu katanya, bilangan tenaga buruh pada Januari 2023 semakin baik, meningkat sebanyak 0.2% bulan ke bulan kepada 16.76 juta orang, berbanding 16.73 juta orang pada Disember 2022.

 

Jelasnya, kadar penyertaan tenaga buruh pada bulan berkenaan kekal pada kadar 69.8%, sama seperti Disember 2022. 

 

"Senario positif ini disumbangkan oleh peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur terus berkurang," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, kategori pekerja merangkumi 75.7% daripada jumlah penduduk bekerja pada Januari 2023.

 

Berbanding bulan sebelumnya, kategori ini merekodkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.1%, mencecah sejumlah 12.24 juta orang, berbanding 12.23 juta orang pada Disember 2022.

 

 

DOSM

 

 

"Trend yang sama juga dilihat dalam penduduk bekerja sendiri, dengan peningkatan sebanyak 0.6% merekodkan 2.88 juta orang, berbanding 2.86 juta orang pada Disember 2022," katanya.

 

Beliau berkata, dari segi sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan makanan dan minuman serta pentadbiran dan khidmat sokongan.

 

"Trend guna tenaga yang sama juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perlombongan dan pengkuarian, begitu juga dalam sektor pertanian," katanya.

 

Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada bulan itu, Mohd Uzir berkata, sebahagian besar daripada penganggur adalah penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 80.8%.

 

Katanya, kategori ini mencatatkan penurunan sebanyak 0.5% kepada 481,600 orang berbanding 484,000 orang pada Disember 2022.

 

"Daripada jumlah bilangan penganggur aktif, 60.8% adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.4% adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun," katanya.

 

Sementara itu katanya, mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif menurun sebanyak 0.8% kepada 114,500 orang berbanding 115,400 orang pada Disember 2022. 

 

Beliau berkata, selaras dengan fasa peralihan negara ke endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa, Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan dalam jumlah ketibaan pelancong, sekaligus merancakkan lagi aktiviti perdagangan dan perniagaan di negara ini, yang seterusnya akan menyumbang ke arah pemulihan yang stabil, terutamanya dalam sektor perkhidmatan.

 

"Justeru, aktiviti perniagaan dijangka terus berkembang pada awal 2023, dan menyumbang kepada lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus menggalakkan lebih ramai penyertaan tenaga buruh dalam pasaran dan seterusnya mengukuhkan pasaran buruh serta meningkatkan prestasi ekonomi negara.

 

"Selaras dengan situasi itu, kedudukan pasaran buruh juga dijangka akan terus stabil dan berkembang pada bulan-bulan yang akan datang," katanya. - DagangNews.com