Berjaya Food rancang buka 38 lagi Starbucks, fokus kepada cawangan pandu lalu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Berjaya Food rancang buka 38 lagi Starbucks, fokus kepada cawangan pandu lalu

Starbucks kini mempunyai 327 cawangan setakat 30 Jun 2021. - Gambar dari Facebook Starbuck Malaysia

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Berjaya Food Holdings Bhd. (BFood) merancang untuk membuka antara 35 hingga 38 cawangan Starbucks di seluruh negara pada tahun kewangan 2022 (berakhir 30 Jun 2022) dengan memberi fokus kepada konsep pandu lalu.

 

Ini kerana pengurusan BFood mendapati pembelian menerusi pandu lalu semakin berkembang kukuh sejajar dengan perubahan tingkah laku pengguna, kongsinya dalam dalam taklimat kepada penganalisis baru-baru ini.

 

Berdasarkan laporan tahunan BFood yang terkini di Bursa Malaysia, setakat 30 Jun 2021, Berjaya Starbucks Coffee Co Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh BFood yang mengendalikan operasi Starbucks di negara ini mempunyai 327 cawangan, kecuali Perlis.

 

Dalam nota kajian, Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Syifaa’ Mahsuri Ismail berkata, kumpulan juga pada masa sama begitu rancak menawarkan pelbagai siri minuman mengikut musim, yang dapat membantu menarik pelanggan. 

 

Katanya, Starbucks juga dijangka mengalami impak yang minimum daripada kenaikan kos bahan mentah disebabkan model marginnya yang tinggi. 

 

Tambahan pula, tambahnya, biji kopi dibekalkan secara terus daripada Starbucks Amerika Syarikat (AS) dengan harga bahan mentah lain kebiasaannya dilindungi menerusi kontrak 1 hingga 2 tahun lebih awal.

 

"Dengan margin jualan mengikut musim adalah tinggi berbanding menu sedia ada, secara keseluruhan, kami melihat Starbucks akan kembali pulih dan momentumnya akan berterusan didorong produk musim akhir tahun yang kukuh.

 

"Selain itu, tekanan margin pula hanya sedikit yang mungkin disebabkan daripada peningkatan kos kakitangan memandangkan kumpulan memperluaskan pengembangan cawangan," katanya hari ini. 

 

Berdasarkan pembentangan itu, firma berkenaan mendapati rangkaian jenama di bawah BFood, Starbucks dan Kenny Rogers Roasters akan kembali mencatat pemulihan terutama apabila sekatan pergerakan dilonggarkan dan kadar vaksinasi yang tinggi.

 

Ia menyaksikan jualan Kenny Rogers meningkat hingga 2 kali ganda berbanding ketika sekatan dine-in dilkuat kuasakan dengan bergantung kepada hasil jualan daripada penghantaran sahaja. 

 

Bagi Starbucks pula, jualannya meningkat antara 30 hingga 40% apabila kedatangan pelanggan semakin pulih serta didorong pelan pengembangan cawangan yang agresif.

 

Di samping itu, sumbangan menerusi penghantaran makanan (seperti GrabFood dan Foodpanda), berkurangan kepada 17% daripada jumlah jualan berbanding 25% ketika dine-in tidak dibenarkan.

 

Syifaa’ Mahsuri berkata, buat masa ini, Kenny Rogers mempunyai 71 cawangan dan kumpulan akan meneruskan penutupan cawangan yang tidak menguntungkan. 

 

Katanya, BFood merancang untuk membuka 3 hingga 4 cawangan tambahan pada tahun kewangan 2022 dengan fokus kepada cawangan yang lebih kecil.

 

"Bagi Sala pula, ketika ini terdapat 6 cawangan dan kumpulan merancang untuk membuka 3 hingga 5 lagi cawangan pada tahun hadapan," katanya.

 

Secara keseluruhan, HLIB Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham BFood dengan harga sasaran pada RM2.69. 

 

Firma itu melihat Starbucks akan terus berkembang menerusi pembukaan cawangan baharu, aktiviti promosi yang aktif dan produk yang inovatif. 

 

Bagi Kenny Rogers pula, konsep kedai yang lebih kecil membolehkan kumpulan terus mengekalkan keuntungannya. - DagangNews.co