Berhati-hati dengan landskap ekonomi, Affin Bank masih kekal 'underperform' - Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Berhati-hati dengan landskap ekonomi, Affin Bank masih kekal 'underperform' - Kenanga

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 5 Nov - Kenanga Research masih mengekalkan penarafan 'underperform' ke atas Affin Bank Bhd. tetapi menyemak semula harga sasaran lebih tinggi pada RM1.40 berbanding RM1.25 sebelum ini. 

 

Dalam taklimat bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah dan Ketua Pegawai Kewangan, Joanne Rodrigues, baru-baru ini, firma itu mendapati prestasi kewangan 2021 bergantung kepada peningkatan pada suku keempat berikutan pembukaan semula ekonomi dan turut memperkukuhkan sasaran bagi tahun kewangan 2022 (FY22). 

 

Penganalisisnya, Clement Chua berkata, pengurusan juga menjelaskan impak pelaksanaan Cukai Makmur seperti diumumkan kerajaan dalam Bajet 2022 adalah di peringkat entiti sahaja. 

 

Katanya, walaupun, ia menunjukkan beban cukai yang lebih rendah, tetapi unit perniagaan utama kumpulan (seperti komersial, pelaburan, pengurusan aset) merangkumi lebih 90% daripada pendapatan sebelum cukai kumpulan. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan kadar cukai yang berkuatkuasa pada 2022 ini masih kekal kira 30%, yang mana kami telah ambil kira," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu bagaimanapun tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran pendapatan FY21 sebaliknya meningkatkan anggaran FY22 sebanyak 15%. 

 

Chua berkata, dengan mengambil kira beberapa produk berorientasikan pengguna dalam perancangan, ia akan memacu keupayaan deposit kumpulan. 

 

"Di samping itu, kami melonggarkan andaian laporan maklumat kredit (CIR) dengan mengambil kira struktur kos yang lebih baik pada masa hadapan.

 

"Oleh itu, anggaran kami masih jauh daripada sasaran pengurusan bagi FY22 memandangkan kami masih berhati-hati di tengah-tengah landskap yang mencabar akibat pandemik COVID-19, meskipun pemulihan amat menggalakkan," katanya.

 

Menurut Chua, kumpulan meletakkan sasaran yang kukuh bagi FY22 seperti mana digariskan di bawah Pelan Metamorphosis AIM22 Affin Bank yang dilancarkan pada 2020.

 

Melalui pelan itu, pengurusan berhasrat untuk mencapai sasaran keuntungan sebelum cukai selepas zakat (PBT) sebanyak RM1 bilion, akaun semasa dan simpanan (CASA) lebih 25%, CIR lebih 55%, pulangan ekuiti (ROE) 7% dan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) kurang 2.5%. 

 

Strategi untuk mencapai sasaran ini melibatkan pembinaan asas yang lebih kukuh untuk perniagaan pengurusan kekayaannya dan mengubah ekosistem operasi.

 

Malah, kumpulan juga berhasrat untuk memanfaatkan cadangan perbankan digitalnya untuk memperoleh lebih banyak CASA dan dengan itu mengekalkan kos dana yang rendah.

 

Di samping itu, menurut Chua kumpulan mahu memperkukuh pendedahan dalam kemampanan dengan sasaran 10% pembiayaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai penawaran kepada jumlah pinjamannya menjelang 2025. 

 

Amalan yang lebih hijau akan dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kemampanan operasi.

 

"Usaha sama dengan Generali Asia N.V. berkemungkinan membantu dalam mencapai sasaran PBT, kerana ia akan meletakkan kumpulan sebagai pemain insurans am kedua terbesar di negara ini (anggaran premium kasar RM2.04 bilion) selain mendapat manfaat daripada pelbagai sinergi operasi. 

 

"Namun, urus niaga ini masih menanti kelulusan daripada Bank Negara Malaysia tetapi dijangka dapat dimuktamadkan pada separuh pertama 2022," jelasnya. - DagangNews.com