Belanjawan 2023 : Kerajaan peruntuk RM2.7 bilion naik taraf jalan persekutuan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2023 : Kerajaan peruntuk RM2.7 bilion naik taraf jalan persekutuan

KUALA LUMPUR 24 Feb - Kerajaan menyediakan peruntukan RM2.7 bilion untuk menyelenggarakan dan menaik taraf jalan persekutuan di bawah Belanjawan 2023. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi melaksanakan penyelenggaran kecil, RM300 juta disediakan khusus untuk kontraktor G1 hingga G4.

 

Menurutnya, sejumlah RM1.5 bilion juga disediakan bagi menaik taraf dan membina baharu jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar.

 

"Bagi isu jalan-jalan berlubang, khidmat Jurutera Daerah akan digunakan untuk menyegerakan penurapan kerosakan jalan persekutuan serta pembaikan segera lain berdasarkan aduan rakyat yang diterima. 

 

"Dalam hal ini, kerajaan menyediakan RM100,000 untuk setiap daerah. Sebanyak RM50 juta disediakan untuk segera memasang lampu-lampu jalan khususnya di kawasan yang mencatat kemalangan tinggi," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 hari ini. 

 

Beliau berkata, kerajaan akan meningkatkan pemberian Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) yang bertujuan untuk menyelenggarakan jalan negeri kepada RM5.2 bilion. 

 

"Untuk itu, Kerajaan Persekutuan telah memberi kelonggaran termasuk membenarkan penggunaan MARRIS untuk membaiki dan mengganti jalan, jambatan dan longkang yang rosak akibat bencana," tambahnya. - DagangNews.com