Belanjawan 2023: Enam projek tebatan banjir ditender semula, jimat RM2 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2023: Enam projek tebatan banjir ditender semula, jimat RM2 bilion

KUALA LUMPUR 24 Feb - Enam projek tebatan banjir akan ditender semula dengan kadar segera selewatnya bulan Jun 2023 melibatkan sungai di Johor, Selangor dan Kelantan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, “Projek cakna rakyat dan berimpak tinggi mesti dilaksanakan secara tender supaya menjamin nilai faedah terbaik dan memberi penjimatan kepada kerajaan.

 

“Sebagai contoh, negara dijangka mampu jimat RM2 bilion daripada jumlah RM15 bilion peruntukan tebatan banjir yang disediakan sebelum ini,” ujar beliau.

 

Anwar juga menekankan ketelusan dalam perolehan kerajaan agar pembaziran wang tidak berlaku dan tidak boleh berlaku pelanggaran hukum menggunakan kaedah rundingan terus.

 

Menurut beliau, projek tebatan banjir RM15 bilion, Jana Wibawa RM7 bilion dan projek lain yang dibuat secara rundingan terus sebelum ini telah dibatalkan.

 

“Setelah sebilangannya ditender semula secara telus, negara dijangka boleh jimat sekurang-kurangnya RM3 bilion. Penjimatan besar seperti ini akan diagih semula untuk dimanfaatkan melalui projek rakyat yang lain,” tambahnya.

 

Anwar berkata, kerajaan bercadang untuk membentangkan Akta Perolehan Kerajaan yang telah dicadangkan pada 2019 namun telah tertangguh semenjak itu.

 

“Kerajaan juga bercadang untuk meminda dan membentangkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat pada tahun ini bagi melindungi pemberi maklumat supaya agenda membanteras rasuah dan salah laku benar-benar menuaikan hasil,” tambahnya.

 

Projek tebatan banjir yang akan ditender semula tahun ini adalah rancangan tebatan banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi, Johor, pembinaan kolam takungan dwifungsi bagi tebatan banjir dan sumber bekalan air mentah di Sungai Rasau dan Sungai Klang, Selangor dan pembangunan lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3, Kelantan.

 

Sementara itu, peruntukan untuk persediaan menghadapi bencana disediakan untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia, bomba dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta persatuan penduduk di bawah Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti.

 

“Sebagai persiapan mendepani sebarang ancaman bencana NADMA disediakan RM150 juta antara lainnya untuk keperluan aset, sistem amaran dan bantuan bencana kepada rakyat yang terkesan.

 

“Angkatan Tentera Malaysia, bomba dan RELA juga disediakan RM50 juta bagi menyediakan peralatan dan aset untuk menghadapi bencana.

 

“Peranan komuniti turut diperkasa sebagai kumpulan awal ketika bencana. Kerajaan menyediakan RM20 juta di bawah Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti untuk manfaat 2,000 persatuan penduduk,” kata Anwar. -DagangNews.com