Bekas Panglima ATM, Mohd Zahidi dilantik Pengerusi Cahya Mata Sarawak | DagangNews Skip to main content

Bekas Panglima ATM, Mohd Zahidi dilantik Pengerusi Cahya Mata Sarawak

Mohd Zahidi Zainuddin
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Dr. Mohd Zahidi Zainuddin dilantik sebagai Pengerusi Cahya Mata Sarawak Berhad (CMS). 

 

Beliau menggantikan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Manaf yang bersara, hari ini bagi menumpukan perniagaan beliau yang lain, menurut kenyataan CMS kepada Bursa Malaysia. 

 

“Lembaga Pengarah CMS menzahirkan setinggi penghargaan kepada Abdul Rashid di atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang tiga tahun lalu dan mengucapkan maju jaya kepadanya. 

 

“Mohd Zahidi, yang dilantik ke dalam Lembaga Pengarah pada 9 Ogos 2021, telah menganggotai beberapa Lembaga Pengarah terhormat di syarikat awam dan swasta.

 

“Beliau ketika ini menganggotai Lembaga Pengarah Genting Plantations Berhad, Genting Malaysia Berhad, Bintang Capital Partners Berhad, One World Group Holdings Berhad, SOGO (K.L.) Department Store Sdn Bhd dan Nishiin-Panmatex (M) Sdn Bhd,” jelas kumpulan.

 

Tambah CMS, Mohd Zahidi mempunyai pengalaman korporat luas terutamanya dalam bidang pentadbiran dan ketelusan. 

 

Selain menjadi Pengarah Bebas Kanan di beberapa Lembaga Pengarah, beliau juga mempengerusikan pelbagai Jawatankuasa Lembaga termasuk dalam bidang Audit, Risiko dan Pampasan. 

 

Sebelum ini, Mohd Zahidi memegang jawatan sebagai Panglima ATM selama enam tahun dan merupakan lulusan Sarjana dalam Ijazah Sains Kajian Pertahanan dan Strategik.

 

Beliau juga telah menamatkan pengajian Program untuk Eksekutif Kanan dalam Keselamatan Nasional dan Antarabangsa di John F. Kennedy School of Government di Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

 

“Sepanjang kerjayanya dalam ketenteraan, beliau mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa melibatkan misi keamanan dan latihan serantau di seluruh dunia,” tambah CMS. - DagangNews.com