KUALA LUMPUR 12 Jan - Pengeluar produk coklat dan koko berkualiti tinggi terkemuka, Barry Callebaut mengumumkan pembukaan rasmi Pusat Kecemerlangan Perniagaan Asia Pasifik (APAC BEC) yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.
APAC BEC bakal berfungsi sebagai sebuah pusat kecemerlangan, menyediakan sokongan merentasi perkhidmatan kewangan dan perakaunan syarikat, pengurusan maklumat dan teknologi, perkhidmatan pelanggan serta beberapa fungsi korporat dan perkhidmatan perkongsian lain.
Pusat ini juga bakal membantu meningkatkan pengalaman pelanggan menerusi penyeragaman dan kebolehskalaan proses.
Ketua Pegawai Operasi Barry Callebaut Group, Jo Thys berkata, APAC BEC bertujuan untuk memberikan pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan di samping mewujudkan nilai kepada pelanggan menerusi pengoptimuman perkhidmatan dan automasi.
"Pusat ini membuktikan komitmen jangka panjang kami ke arah membuat pelaburan di Asia Pasifik dan akan membantu menyokong pertumbuhan perniagaan kami di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
APAC BEC baharu di Malaysia mewakili pelaburan besar Barry Callebaut di Malaysia dan mengukuhkan lagi kehadiran jenama setelah lebih 30 tahun berada di negara ini.
Pada masa ini, Barry Callebaut mempunyai lebih 600 pekerja di dua tapak pembuatan dan pusat R&D di Pasir Gudang, Johor dan Pelabuhan Klang, Selangor.

Di samping itu, APAC BEC telah pun mempunyai lebih 100 kakitangan dan menyasarkan untuk meningkatkan bilangan pekerjanya ke 150 dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Pengarah Urusan Barry Callebaut Malaysia, Robert Kotuszewski pula berkata, Malaysia merupakan hab yang penting untuk Asia Pasifik disebabkan asas pembuatannya yang kukuh, kepelbagaian budaya dan bakat pertuturan yang dapat membantu pelanggan dan pekerjanya berhubung merentasi pasaran di rantau ini.
"Kami ingin berterima kasih kepada pelanggan, rakan kongsi serta kakitangan kami di atas sokongan berterusan mereka dalam penubuhan pusat ini," katanya.
Barry Callebaut mengeluarkan coklat untuk pengeluar manisan dan makanan yang menggunakan coklat sebagai bahan dalam produk jualan mereka dan merupakan rakan pembekal kepada pengeluar makanan di Malaysia, yang mencari produk coklat berkualiti tinggi.
Syarikat itu juga mengimport coklat premium Eropah untuk pengguna coklat artisan dan profesional, seperti pembuat coklat, pembuat roti, cef pastri, hotel dan restoran. - DagangNews.com








