KUALA LUMPUR 27 Jun - Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) merupakan bantuan tunai langsung tertinggi dalam sejarah berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Bantuan Sara Hidup (BSH), dengan jumlah peruntukan keseluruhan BKM sebanyak RM8 bilion sekali gus memanfaatkan 12.6 juta individu bersamaan dengan 60% daripada rakyat dewasa di negara ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebagai perbandingan, kadar maksimum BKM adalah RM2,600 berbanding BR1M (RM1,200) dan BSH (RM1,480).
Beliau berkata, ia adalah peningkatan bantuan sebanyak 120% sejak inisiatif bantuan tunai langsung mula diperkenalkan.
Jelasnya, jumlah penerima BKM adalah 8.6 juta berbanding BSH dengan 4.5 juta penerima sahaja.
"Peningkatan ini adalah kerana had kelayakan untuk menerima BKM telah dinaikkan daripada berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan untuk BSH kepada RM5,000 ke bawah sebulan untuk BKM.
"Ini bermakna lebih ramai Keluarga Malaysia layak untuk menerima bantuan, termasuklah sebahagian M40 dan bukan terhad kepada golongan B40 sahaja seperti untuk inisiatif bantuan tunai langsung sebelum ini.
"Lazimnya, BKM dikenali sebagai bantuan kepada golongan B40, namun hakikatnya BKM kini memanfaatkan 12.6 juta individu, iaitu bersamaan dengan 60% daripada rakyat dewasa di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, seperti mana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, BKM Fasa 2 telah ditambah baik dengan bantuan tunai tambahan bernilai RM630 juta, dengan jumlah peruntukan keseluruhan BKM sebanyak RM8 bilion.
"BKM merupakan inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan di dalam Bajet 2022 bagi membantu mereka yang memerlukan untuk bangun semula pasca-pandemik dan meringankan beban kos sara hidup.," katanya.
Katanya, setakat ini, 8.6 juta penerima BKM telah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,600 sekeluarga pada tahun 2022.
Tambahnya, Kementerian Kewangan akan terus memantau faktor-faktor luaran yang boleh memberi impak negatif kepada situasi ekonomi domestik bagi memastikan kos sara hidup rakyat terkawal.
"Kerajaan juga sentiasa memantau situasi semasa dan yakinlah bahawa dasar kerajaan, baik daripada segi bantuan langsung mahupun yang tidak langsung seperti subsidi keperluan asas, adalah bertujuan memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela," katanya. - DagangNews.com








