Bank Islam tawar bantuan pembayaran semula bersasar untuk pelanggan | DagangNews Skip to main content

Bank Islam tawar bantuan pembayaran semula bersasar untuk pelanggan

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Bank Islam Malaysia Berhad bersedia membantu para pelanggannya yang terjejas akibat COVID-19 untuk membayar semula pembiayaan ekoran pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Julai lalu.

Dengan hanya berbaki dua bulan sebelum tempoh moratorium berakhir pada 30 September 2020, Bank Islam menggesa para pelanggan untuk menghubungi pegawai-pegawainya bagi urusan pembayaran semula pinjaman yang terbaik.

Bank Islam menawarkan bantuan pembayaran semula bersasar untuk pelanggan yang terjejas seperti berikut:

bimb1

Pelanggan boleh mengunjungi rangkaian cawangan Bank di seluruh negara bermula 7 Ogos untuk membincangkan penyelesaian yang paling sesuai mengikut keadaan kewangan mereka dan melengkapkan borang permohonan untuk menikmati kemudahan ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya menyedari bahawa COVID-19 mempunyai kesan yang berbeza kepada orang ramai dan bank ini telah memberikan moratorium menyeluruh selama 6 bulan bermula April 2020.

 

BIMB2
                          Mohd Muazzam Mohamed

 

``Dengan tempoh moratorium berakhir pada 30 September 2020, bantuan tambahan ini bertujuan untuk meringankan kekangan kewangan pelanggan dan menstabilkan aliran tunai mereka,'' katanya.

``Menyokong kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri dan Bank Negara Malaysia pada 29 Julai, diikuti pula oleh ABM dan AIBIM, kami akan meneliti keadaan mereka yang terjejas untuk merangka pelan pembayaran balik yang sesuai untuk mereka,” ujarnya.

Menurut beliau, bank telahpun mula menghubungi semua pelanggan Bank Islam melalui khidmat pesanan ringkas dan mengemaskini maklumat secara berkala di pelbagai platform komunikasi.

``Namun, kami akan terus melipat gandakan usaha untuk memastikan mesej ini disampaikan dengan berkesan” tambahnya.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai bantuan pembayaran semula yang ditawarkan, pelanggan dinasihatkan untuk mengunjungi Cawangan Bank Islam terdekat atau menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-2690 0900. - DagangNews.com