Banjir: Peniaga tidak formal, PMKS akan dibantu - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Banjir: Peniaga tidak formal, PMKS akan dibantu - PM

Anggota-anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia membersihkan lumpur di kawasan sekolah yang terjejas banjir - Foto FB Angkatan Pertahanan Awam Malaysia

KUALA LUMPUR 3 Mac -  Kerajaan akan membantu peniaga tidak formal serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas dengan banjir di Kelantan dan Terengganu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana menteri menerusi catatan di Facebook hari ini berkata selain itu, golongan petani dan penternak juga turut tidak terlepas daripada perhatian kerajaan.

 

“Keluarga Malaysia turut bersedih dan simpati dengan mangsa banjir. Justeru bantuan-bantuan untuk mereka akan diteruskan,” katanya.

 

Semalam, meskipun sibuk dengan pelbagai tugasan Ismail Sabri sempat meluangkan masa meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) dan keadaan semasa banjir di Terengganu dan Kelantan serta menyerahkan sumbangan kepada mangsa yang terlibat.

 

Perdana Menteri turut menzahirkan kesyukuran dengan perkembangan banjir semasa di Terengganu yang kini beransur pulih.

 

“Alhamdulillah keadaan banjir di Terengganu beransur pulih. Di Kelantan keadaan banjir masih belum reda. Terdapat 22 pusat pemindahan sementara yang masih beroperasi,” katanya.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir - Foto Jabatan Penerangan Negeri Terengganu

 

 

Setakat pukul 8 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Kelantan menyaksikan sedikit peningkatan manakala situasi di Terengganu bertambah baik dengan bilangan penduduk yang dipindahkan ke PPS semakin berkurangan, menurut Bernama.

 

Sementara itu, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, setakat 11 pagi ini, seramai 16,821 mangsa daripada 4,892 keluarga di kedua-dua negeri masih ditempatkan di 61 PPS yang beroperasi. - DagangNews.com