KUALA LUMPUR 29 Sept - Kerajaan dijangka memperuntukkan perbelanjaan pembangunan kasar sebanyak RM90 bilion dalam Bajet 2023 bagi melaksanakan lebih banyak projek pembangunan dan infrastruktur awam, demikian menurut Kenanga Research.
Jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding RM76 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet 2022 berikutan ketiadaan dana khas berkaitan COVID-19 sebanyak RM23 bilion.
Penganalisisnya, Lum Joe Shen berkata, adalah penting bagi kerajaan untuk memulakan pelancaran projek baharu memandangkan kebanyakan projek infrastruktur utama yang sedang berjalan sudah pun berada di penghujungnya termasuk MRT2, LRT3 dan Pan Borneo Fasa 1.
Menurutnya, tender bagi tiga pakej sivil di bawah MRT3 akan ditutup pada September 2022 (setelah ditangguh dari Ogos 2022) dengan kontrak dijangka dikeluarkan pada awal tahun depan.
Namun, katanya, disebabkan kekangan fiskal, projek mega mungkin dilaksanakan melalui inisiatif kewangan awam (PFI) atau model pembayaran tertunda.
"Sebagai contoh, kontraktor MRT3 boleh membiayai projek berkenaan dalam tempoh dua tahun pertama pembinaan, hanya perlu bayar keseluruhan amaun secara ansuran bulanan yang sama sepanjang tahun ketiga dan keempat.
"Projek lain yang mungkin dijalankan dengan model ini termasuklah projek tebatan banjir di barat Lembah Klang (dilaporkan menelan kos RM5 hingga RM15 bilion, bergantung kepada cadangan pelbagai pembida), PJD Link, Lebuhraya Bangi Putrajaya dan Lebuhraya Penyuraian Utara Kuala Lumpur (dikenali sebagai KL Node)," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

Berdasarkan semakan yang dijalankannya, ia menunjukkan terdapat perbelanjaan pembangunan dalam Bajet 2022 yang masih belum digunakan.
Beliau berkata, terdapat projek yang telah ditahan kerana harga tender dimasukkan oleh kontraktor tidak memenuhi (iaitu melebihi) belanjawan untuk kebanyakan projek (disebabkan oleh kos buruh dan bahan yang melambung tinggi).
"Pelancaran projek awam baharu akan berguna pada masa apabila nilai kontrak kebanyakan kontraktor semakin berkurangan," katanya.
Pada masa sama, Joe Shen mendapati penganugerahan projek infrastruktur awam baharu dijangka dikeluarkan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), berbanding sebelum ini.
Ini termasuklah projek MRT3, Pan Borneo Sarawak Fasa Kedua, Pan Borneo Sabah, Central Spine Road dan beberapa projek tebatan banjir dan pembinaan hospital.
Sementara itu, katanya, bagi projek sektor swasta, terdapat peluang dalam pembinaan loji separa konduktor baharu dan pusat data tempatan apabila syarikat multinasional (MNC) mempelbagaikan pangkalan pembuatan mereka secara geografi (jauh dari China) untuk mengurangkan risiko.
"Kami dapati kontrak ini boleh bernilai antara RM1 hingga RM1.5 bilion setiap satu. Bagaimanapun, perkara yang sama tidak boleh dikatakan untuk segmen pejabat dan kediaman bertingkat memandangkan lebihan bekalan yang berterusan," jelasnya.

Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor pembinaan memandangkan ketidaktentuan yang semakin berkurangan.
Sejak akhir Jun, harga bahan binaan utama tertentu seperti keluli dan aluminium telah turun dengan ketara disebabkan kelembapan di China manakala diesel dan bitumen juga menurun ekoran harga minyak yang lebih lemah.
Malah, kebanyakan kontrak baharu yang sedang dirundingkan pada masa ini mempunyai harga dalam pasaran semasa (yang lebih tinggi) dan mempunyai unsur perubahan harga untuk melindungi margin kontraktor sekiranya berlaku perubahan besar dalam harga bahan binaan.
"Kami percaya sektor ini telah melalui saat yang buruk dan harus bersedia untuk memperoleh pendapatan yang lebih baik pada separuh kedua ini berikutan kemasukan semula pekerja asing secara beransur-ansur dan penurunan harga komoditi.
"Oleh itu, margin keseluruhan akan bertambah baik secara beransur-ansur apabila pekerjaan lama yang mempunyai margin rendah semakin berkurangan dan projek baharu yang diselaraskan untuk kos input yang lebih tinggi mula memberi sumbangan kepada pendapatan," jelasnya. -DagangNews.com








