Bajet 2022 :  Inisiatif Pas MyRail5 diteruskan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bajet 2022 :  Inisiatif Pas MyRail5 diteruskan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Okt. -  Kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi bagi menampung sebahagian kos operasi perkhidmatan tren kurang ekonomik di luar bandar terutamanya di wilayah timur dan meneruskan inisiatif Pas MyRail5 untuk manfaat murid sekolah.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kebanyakan penumpang merupakan murid-murid sekolah yang kini menerima manfaat di bawah inisiatif Pas MyRail5 berharga 5 ringgit sebulan untuk perjalanan tanpa had.

 

"Saya tertarik dengan perkhidmatan tren yang kini sedang tular iaitu ‘Train to Dabong’. Dabong di Kuala Krai, Kelantan memang merupakan kawasan tumpuan bagi akitiviti ekopelancongan dan harga tambang tiket kereta api untuk ke sana juga adalah berpatutan. 

 

"Perkhidmatan tren KTMB sememangnya sentiasa penuh pada hujung minggu. Pada hari-hari biasa pula, kebanyakan penumpang merupakan murid-murid sekolah," katanya pada sesi pembentangan Bajet 2022 di Parlimen hari ini. 

 

Selain inisiatif itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan juga menyediakan RM80 juta sebagai Dana Bantuan Sementara Bas Henti-henti untuk manfaat pengendali bas henti-henti dan RM115 juta ringgit bagi inisiatif pas perjalanan bas dan rel tanpa had dengan harga RM50 sebulan untuk pengguna terutamanya di Lembah Klang.

 

"Penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak ada yang terpaksa menempuh jalan balak dan memakan masa berjam-jam untuk mendapatkan perkhidmatan di pekan berdekatan. 

 

"Kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi oleh mereka seperti penduduk di Kudat dan Long Pasiah di Sabah serta Ba’kelalan dan Bario di Sarawak. 

 

"Oleh itu, bagi tahun hadapan, Kerajaan akan terus memberikan subsidi sebanyak 209 juta ringgit bagi perkhidmatan pengangkutan udara untuk manfaat penduduk setempat," katanya.  -DagangNews.Com