KUALA LUMPUR 5 Okt - Ketua Penerangan Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memuji inisiatif Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melancarkan rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri Nasional (i-ESG), baru-baru ini.
Beliau yang juga bekas Menteri MITI berkata, inisiatif itu membolehkan sektor industri negara bergerak lebih terkehadapan dalam perspektif yang lebih sempurna bagi membolehkan negara berada pada kedudukan berdaya saing dalam kalangan pelabur.
Katanya, ketika beliau dan pasukan menerajui MITI, mereka mengambil pendekatan membangunkan idea-idea progresif bagi menangani cabaran global sebagai usaha mengukuh usaha negara ke arah destinasi pelaburan lestari.
"Rangka Kerja ESG Kebangsaan untuk Industri telah dimulakan pada 2021. Saya sendiri menyelia kerja di bahagian ini dan menugaskan pegawai MITI untuk memastikan bahawa rangka kerja ini dilaksana dalam Pembangunan Aspirasi Pelaburan Negara, kemudiannya dilancarkan pada 2022.
"Ingin ditekankan di sini bahawa saya secara peribadi memimpin MITI menjayakan misi perdagangan dan pelaburan ke Jepun dan Korea Selatan pada April 2021. Ketika itu, pelabur asing telah dimaklumkan buat kali pertama, tentang hasrat kerajaan menarik pelaburan patuh ESG dalam sektor pembuatan," katanya dalam kenyataan media di sini.
Mohamed Azmin berkata, sepanjang misi itu juga, beliau menekankan bahawa strategi pelaburan Malaysia yang dikemaskini akan menyediakan momentum yang diperlukan bertujuan menarik pelaburan berteknologi tinggi dan mampan.
Beliau berkata, usaha itu bertepatan dengan proses meningkatkan inovasi, mencapai keseimbangan antara ekonomi dan kelestarian alam sekitar sekaligus mengurangkan pergantungan kepada buruh asing, dalam pematuhan dengan penanda aras global dalam ESG.
"Selepas itu, rangka kerja dibincangkan secara meluas dengan industri berkepentingan. Hasil daripada perundingan ini, terdapat empat bidang utama yang dikenal pasti sebagai tunjang utama rangka kerja, iaitu piawaian ESG, pembinaan kapasiti khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menggabungkan amalan ESG dalam syarikat," katanya.
Beliau berkata, kerangka itu turut menyediakan peruntukan insentif pembiayaan dan percukaian kepada syarikat untuk melaksanakan ESG dan pasaran mekanisme sokongan termasuk perdagangan kredit karbon untuk mengimbangi pelepasan karbon.
Katanya, inisiatif mewujudkan Rangka Kerja ESG Kebangsaan untuk Industri juga berfungsi sebagai pemangkin kepada inisiatif lain seperti Pasukan Petugas Bahan Api Penerbangan Lestari dalam MITI pada 2022.
"Melangkah ke hadapan yangn lebih cemerlang, saya berharap MITI akan terus bersedia dalam menghadapi arus global yang semakin mencabar, bukan sahaja dengan mempergiatkan program kerja sedia ada tetapi juga memulakan atas inisiatif baharu bertujuan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelaburan.
"Saya percaya dengan pelantikan Hairil Yahri Yaacob sebagai Ketua Setiausaha MITI baharu, baru-baru ini. Kebijaksanaan beliau membolehkan MITI mencatat prestasi membanggakan dan memacu kementerian pada skala yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com








