ASNB umum agihan pendapatan RM650.73 juta untuk 3 dana | DagangNews Skip to main content

ASNB umum agihan pendapatan RM650.73 juta untuk 3 dana

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com

 

 


KUALA LUMPUR 30 Sept. - Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan untuk 3 dana berjumlah RM650.73 juta. 

 

Ia membabitkan dana unit amanah harga tetap Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3), dana harga berubah, ASN 
Equity 5 dan ASN Sara (Mixed Aset Conservative) 2 (ASN Sara 2) (ASN Sara 2) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2021.

 

Bagi ASM 3, satu daripada 6 dana harga tetap yang diuruskan oleh ASNB, mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM593.04 juta yang  memanfaatkan 525,038 pemegang unit dengan pegangan 14.83 bilion unit. 

 

Dalam kenyataan hari ini, PNB berkata, ASM 3 mencatatkan pendapatan direalisasikan bersih sebanyak RM653.27 juta bagi tahun kewangan semasa, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 17.87% berbanding tahun lalu.

 

Pulangan sebanyak 4.00 sen seunit ini kekal kompetitif dan mengatasi penanda aras pulangan Deposit Tetap 12-bulan Maybank pada kadar 1.85% sebanyak 215 mata asas bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2021.

 

Sementara itu, ASN Equity 5 dan ASN Sara 2 mencatatkan jumlah pulangan masing-masing sebanyak 11.46% 
dan 4.04% untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2021, yang telah mengatasi penanda aras masing-masing sebanyak 8.66% dan 1.73%. 

 

Pulangan ini ditanda aras berbanding Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia (FBM 100) dan Deposit Tetap 12 bulan Maybank, pada nisbah yang disesuaikan untuk setiap dana.

 

Dalam tempoh yang sama, FBM KLCI mengukuh sebanyak 2.79% daripada 1,504.82 mata kepada 1,546.82 mata berikutan prestasi yang tidak menentu akibat peningkatan kes harian COVID-19 yang menyebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0. 

 

"Bagaimanapun, pasaran global menunjukkan prestasi yang lebih baik apabila MSCI All Country World Index 
(MSCI ACWI) meningkat 29.0% dalam tempoh yang sama, didorong oleh pembukaan semula ekonomi global berikutan pengagihan vaksin menunjukkan kemajuan," katanya.

 

PNB berkata, dengan pulangan ini, ASNB mengisytiharkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM9.8 juta kepada pemegang unit ASN Equity 5, yang bersamaan dengan 2.85 sen seunit kepada 11,202 pemegang unit dengan pegangan 343.80 juta unit. 

 

Pemegang unit ASN Sara 2 akan menerima jumlah pembayaran agihan pendapatan sebanyak RM47.88 juta, bersamaan dengan 2.80 sen seunit kepada 42,860 pemegang unit dengan pegangan 1.71 bilion unit.

 

Pulangan ini adalah bersamaan dengan hasil dividen sebanyak 2.95% untuk ASN Equity 5 dan 2.75% untuk ASN Sara 2, berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) dana pada 23 September 2021.

 

Pengagihan pendapatan ini diperoleh daripada dana keuntungan direalisasi, dividen dan pendapatan lain daripada pelaburan tempatan dan antarabangsa yang secara amnya didorong oleh pemulihan pasaran kewangan global dan domestik secara beransur-ansur.

 

Menurut PNB, pengagihan pendapatan bagi ASM 3 dikira berdasarkan purata baki minimum bulanan sepanjang tahun kewangan, manakala untuk ASN Equity 5 dan ASN Sara 2, pengiraan berdasarkan jumlah unit yang dimiliki pada hujung tahun kewangan dana tersebut. 

 

"Pengagihan pendapatan yang diumumkan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan dikreditkan secara automatik pada 1 Oktober 2021 untuk ASM 3, dan pada 2 Oktober 2021 untuk ASN Equity 5 dan ASN Sara 2," jelasnya. 

 

Urus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB seluruh negara telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 23 hingga 30 September 2021 untuk ASM 3 dan dari 29 September hingga 1 Oktober 2021 untuk ASN Equity 5 serta ASN Sara 2 bagi memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan. - DagangNews.com