ARB buat laporan polis penyebaran surat layang, nafi terlibat penyelewengan akaun, pengumuman palsu | DagangNews Skip to main content

ARB buat laporan polis penyebaran surat layang, nafi terlibat penyelewengan akaun, pengumuman palsu

Oleh M. HERMAN HAMID


KUALA LUMPUR 2 April - ARB Berhad membuat laporan polis susulan penyebaran surat layang yang antara lain menuduh syarikat itu membuat pengumuman palsu dan penyelewengan perakaunan. 

 

Menurut syarikat tersenarai Pasaran Utama Bursa Malaysia itu, pihaknya mengetahui surat layang itu yang diedarkan kepada Juruaudit Berdaftar Lembaga Pemantauan Audit yang mengandungi dakwaan tidak berasas terhadap syarikat dan pengurusan.

 

"ARB secara mutlak menafikan semua dakwaan yang dibuat dalam surat itu dan mengesahkan bahawa ia beroperasi dengan standard tertinggi tadbir urus korporat dan ketelusan.

 

"Operasi perniagaan syarikat adalah sah dan semua pengumuman awam telah dibuat mengikut keperluan kawal selia dan disokong oleh fakta," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

ARB merupakan pembekal perisian dan platform teknologi maklumat.

 

Kata ARB, surat itu ditulis oleh seorang individu bernama Ahmad bin Faisal, yang mengaku sebagai anggota kakitangan syarikat itu.

 

Menurutnya, selain membuat laporan polis, ARB juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terus mencemarkan nama baik dan integriti syarikat dan pihak pengurusan.

 

"ARB sedang mengambil nasihat undang-undang mengenai tindakan yang sesuai sebagai tindak balas kepada surat layang itu dan akan mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi reputasi syarikat dan kepentingan para pemegang saham," tegasnya.

 

ARB dalam kenyataan tersebut turut mengulangi komitmen untuk mengekalkan integriti dalam semua aspek operasi perniagaan.

 

"Syarikat ingin menyatakan dengan tegas bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas, tidak benar dan mengelirukan.

 

"Dakwaan itu palsu dan memfitnah dengan tujuan mencemarkan nama baik syarikat," jelasnya.

 

Kata ARB, tujuan dakwaan ini adalah untuk mewujudkan kesukaran kepada syarikat untuk memastikan juruaudit melaksanakan kerja-kerja audit.

 

"Syarikat sentiasa berkomunikasi dengan semua badan kawal selia yang berkaitan, termasuk Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia, dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

 

"Ini untuk memastikan pematuhan kepada semua peraturan dan menyediakan ketelusan dalam operasi mereka," tegasnya. - DagangNews.com