Untung bersih 1QFY24 Taliworks melonjak 48.6% kepada RM17.3 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 1QFY24 Taliworks melonjak 48.6% kepada RM17.3 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mei - Untung bersih suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) Taliworks Corporation Bhd meningkat 48.6% kepada RM17.3 juta berbanding RM11.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, pertumbuhan itu sebahagian besarnya didorong peningkatan dalam kadar bekalan air pukal untuk bahagian rawatan dan bekalan air kami daripada 42 sen bagi setiap meter padu kepada 48 sen bagi setiap meter padu pada 1 Januari 2024.

 

Katanya, ia juga disumbangkan daripada bahagian hasil yang lebih tinggi daripada syarikat usaha sama, Grand Sepadu (NK) Sdn Bhd, kepada RM4.4 juta berbanding RM500,000 pada tahun lalu disebabkan pampasan RM12.6 juta yang diiktiraf pada 1QFY24.

 

Peningkatan itu juga didorong oleh pengoptimuman kos dan trafik yang lebih tinggi dalam segmen lebuh raya bertol, pendapatan pelbagai yang lebih tinggi dan kos kewangan yang lebih rendah yang ditanggung pada suku tersebut.

 

Pengarah Eksekutif Taliworks, Kevin Chin Soong Jin berkata, kumpulan itu memulakan tahun ini dengan positif dan menjangkakan sumbangan lebih baik daripada bahagian tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

"Ia didorong oleh usaha penggantian panel solar berterusan kami di TR CPark Sdn Bhd dan TR Sepang Sdn Bhd, ditetapkan untuk siap menjelang suku ketiga tahun ini.

 

"Strategi kami kekal tertumpu pada pertumbuhan dalam bahagian air , pembinaan, dan RE," katanya dalam satu kenyataan berasingan.

 

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 1.0 sen sesaham bagi 2.02 bilion saham biasa, berjumlah RM20.2 juta, yang akan dibayar pada 28 Jun 2024.- DagangNews.com