Malaysia mampu jadi destinasi pendidikan utama, pelajar Nigeria diunjur bakal melebihi China - Juwai IQI  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia mampu jadi destinasi pendidikan utama, pelajar Nigeria diunjur bakal melebihi China - Juwai IQI 

Malaysia mampu setanding negara maju sebagai destinasi pilihan pelajar asing menjelang 2035. Gambar Charles DeLoye
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 14 Mei - Malaysia mampu menjadi destinasi pilihan pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian menjelang 2035 berikutan mempunyai taraf kualiti pendidikan yang tinggi tetapi pada kos berpatutan berbanding negara-negara maju.  

 

Menurut firma teknologi hartanah, IQI yang juga ahli kepada Juwai IQI, ketika ini terdapat 125,000 pelajar antarabangsa menuntut di Malaysia dengan 70% di institusi pengajian tinggi swasta, manakala selebihnya di universiti awam dan sekolah menengah.

 

Pada masa kini, lima pasaran utama bagi pelajar antarabangsa di Malaysia adalah China, Indonesia, Bangladesh, India, dan Nigeria.

 

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, Malaysia sedang berusaha mencapai matlamat jangka panjang untuk meningkatkan kemasukan pelajar asing kepada 250,000 orang menjelang 2025.

 

kashif
KASHIF ANSARI

 

"Setakat 2015, Malaysia menduduki tempat kelapan di dunia untuk kemasukan pelajar asing," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Kashif, ekonomi dan bilangan penduduk Nigeria yang semakin berkembang menjadikannya pasaran pertumbuhan bernilai puluhan juta dolar bagi Malaysia.

 

“Jumlah pelajar yang datang dari Nigeria akan meningkat secara stabil. Malah, pelajar dari Nigeria akan melampaui pelajar dari China. 

 

"Menjelang tahun 2050, akan ada lebih banyak pelajar Nigeria yang menuntut di Malaysia berbanding pelajar dari China pada masa kini," ujarnya yang menjangkakan negara Afrika Barat itu bakal mempunyai jumlah penduduk keempat tertinggi di dunia pada 2050.

 

Sementara itu, katanya, Malaysia masih cukup menarik kepada pelajar China, yang semakin memilih untuk belajar di Asia.

 

"Malaysia bersaing untuk pelajar China dengan Singapura, Hong Kong, Jepun, dan Thailand. Semua negara ini mahu meraih manfaat ekonomi dengan menjadi destinasi pilihan pelajar China.

 

emgs
IPT Malaysia proaktif menarik pelajar asing menerusi kempen di luar negara anjuran EGMS. -Gambar FB EGMS.

 

"Malaysia mempunyai beberapa kelebihan dalam persaingan ini kerana kos sara hidup yang lebih rendah berbanding Jepun dan Singapura, populasi penutur bahasa Cina yang lebih besar daripada Jepun, dan persekitarannya yang agak selamat berbanding Thailand," katanya.

 

Sementara itu, kata beliau, pelajar antarabangsa di Malaysia memainkan peranan dalam pasaran hartanah kediaman, terutamanya segmen sewaan di kawasan berhampiran universiti dan hab pendidikan.

 

Katanya, pelajar antarabangsa meningkatkan permintaan sewaan di bandar-bandar yang mempunyai institusi pendidikan besar, terutamanya Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

 

"Permintaan yang konsisten daripada pelajar antarabangsa memberikan pendapatan sewa yang stabil kepada tuan rumah dan menjadikan hartanah pelaburan berhampiran institusi pendidikan lebih menarik. 

 

"Itu adalah berita baik bagi 77% rakyat Malaysia yang memiliki rumah sendiri dan bagi pemilik hartanah pelaburan. 

 

"Pelajar juga membantu memacu pembinaan perumahan baru dengan menyediakan permintaan terakhir untuk unit yang siap dibina, sama ada mereka menyewanya secara langsung atau menyewanya dari pelabur," katanya.

 

Dalam hal ini kata Kashif, pelajar antarabangsa adalah lebih berharga kepada ekonomi Malaysia berbanding dengan pelancong. 

 

Menurutnya, apabila Malaysia mencapai sasaran 250,000 pelajar antarabangsa setiap tahun, itu bermakna tambahan RM16 bilion untuk ekonomi, setiap tahun, menurut Kementerian Pendidikan.

 

“Setiap pelajar antarabangsa menghabiskan anggaran RM46,000 setahun, atau RM88,000 setahun jika seorang ahli keluarga mengiringi mereka,” ujarnya.- DagangNews.com