KUALA LUMPUR 29 Sept - Skim geran pelajar di bawah Maxis eKelas, Anugerah Gemilang kini kembali lagi pada tahun ini untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada pelajar, demi mencapai matlamat akademik mereka melalui pemberian ganjaran kepada pelajar yang menunjukkan peningkatan gred di sekolah.
Menyasarkan kepada pelajar Tingkatan 1 hingga 5, Anugerah Gemilang akan memberikan geran tunai kepada 100 pelajar, berdasarkan kriteria penilaian yang ketat.
Untuk layak menerima anugerah itu, pelajar harus mencapai minimum satu peningkatan gred dalam dua atau ketiga-tiga subjek yang diajar dalam eKelas, iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
Pelajar yang layak boleh menyerahkan keputusan peperiksaan akhir persekolahan bagi tahun sebelumnya dan tahun semasa.
Ini melayakkan mereka untuk menerima RM600 dan RM1,200 untuk penambahbaikan subjek yang ditetapkan. Wang itu kemudiannya akan dimasukkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional pelajar.
Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha berkata, mereka bangga melihat perkembangan eKelas selama bertahun-tahun dan Anugerah Gemilang ialah sorotan popular dan penting bagi program tersebut, serta insentif hebat untuk pelajar berjaya dalam tiga mata pelajaran.
"Kami telah menerima respons positif dalam penyerahan pada masa lalu, dan kami menggalakkan pelajar mendaftar untuk eKelas sekarang serta mengambil langkah pertama, iaitu dengan melengkapkan kuiz penilaian di portal," katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai pra-syarat, pelajar perlu melengkapkan kuiz Pra- dan Pasca Penilaian di portal eKelas bermula sekarang hingga 31 Disember 2022 untuk layak menerima anugerah tersebut.
Mereka kemudiannya perlu menyerahkan keputusan Pasca Penilaian dan permohonan untuk Anugerah Gemilang bermula 1 Mac hingga 30 April 2023.
Untuk maklumat lanjut, layari https://www.ekelas.com.my/anugerahgemilang2022. - DagangNews.com








