Anak Sarawak ditawar memohon Hadiah Galakan ke IPT Yayasan Sarawak | DagangNews Skip to main content

Anak Sarawak ditawar memohon Hadiah Galakan ke IPT Yayasan Sarawak


Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Julai – Anak-anak negeri Sarawak yang telah melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) digalakkan memohon Hadiah Galakan Ke IPT (HGipt) menerusi Yayasan Sarawak.

Menurut Yayasan Sarawak, matlamat utama pelaksanaan HGipt adalah untuk membantu membiayai kos peringkat awal pelajar yang memulakan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi.

``Sasaran utama pelaksanaan HGipt adalah pelajar-pelajar yang datang daripada keluarga B40 di Sarawak.

``Pelaksanaan HGipt diharap mampu meringankan keluarga B40 dalam membiayai pembelajaran anak-anak mereka yang melanjutkan pengajian di IPT,’’ kata Yayasan Sarawak dalam kenyataan hari ini.
 

yas


Kadar pemberian HGipt adalah bergantung kepada kategori berikut:

  • Pengajian Dalam Sarawak: RM1,000.00
  • Pengajian Luar Sarawak   : RM1,500.00
  • Permohonan bagi HGipt dibuka sepanjang tahun dan tidak mempunyai tarikh tutup permohonan.


Menurut Yayasan Sarawak lagi, pemohon yang berminat untuk memohon insentif HGipt perlu menepati syarat-syarat berikut:

  1. Pemohon mestilah warganegara Malaysia dan anak Jati Sarawak.
  2. Permohonan terbuka kepada pelajar untuk semester 1 sahaja.
  3. Pemohon mestilah mengikuti pengajian sama ada di Institusi Pengajian Tinggi Awam, Curtin Miri, Swinburne Kuching dan UCTS Sibu.
  4. Ibubapa atau penjaga pelajar mestilah mempunyai pendapatan perkapita RM1,500.00 dan ke bawah.
  5. Permohonan hanya meliputi kemasukan peringkat Matrikulasi / Asasi / Pra Diploma / Diploma / Ijazah di Institusi Pengajian Tinggi Awam, Kolej Matrikulasi anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia dan Institusi Latihan Kemahiran / Teknikal anjuran kerajaan.


Bagi pemohon yang berminat untuk memohon HGipt boleh mengikuti langkah-langkah permohonan dengan melayari laman web https://yayasansarawak.org.my/.

Pemohon yang ingin mengajukan pertanyaan atau ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh terus ke Yayasan Sarawak yang beralamat di:

Wisma Adenan,
Jalan Sultan Tengah,
Petra Jaya,
93050 Kuching,
Sarawak.

``Pemohon juga boleh menghubungi Yayasan Sarawak di talian 082-441686 atau menghantar emel ke alamat ys@yayasansarawak.org.my.,’’ kata kenyataan itu. – DagangNews.com