KUALA LUMPUR 11 April - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Kimlun Corp. Bhd. dengan nilai wajar (FV) lebih tinggi pada 88 sen selepas menyemak semula unjuran untung bersih kumpulan.
Penilaian FV itu adalah berdasarkan kepada 9 kali pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (Fy23), sejajar dengan penanda aras ke hadapan bagi sasaran harga kepada pendapatan (PE) 9 kali untuk saham pembinaan bermodal kecil.
Firma itu menaikkan unjuran untung bersih teras Kimlun sebanyak 19% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) manakala 4% pada FY23.
Katanya, ia disokong nilai kontrak yang kukuh sebanyak RM2.1 bilion setakat akhir Fy21 (berbanding RM1.4 bilion pada FY20) di tengah-tengah peningkatan pendapatan bagi sektor pembinaan.
"Kumpulan dijangka meraih prospek pendapatan yang cerah bagi FY22 disokong kemajuan pembayaran yang belum dituntut bagi projek yang diperoleh pada FY21.
"Kenaikan kos bahan binaan dilihat tidak memberi kesan yang ketara kepada Kimlun memandangkan kebanyakan projek yang sedang dijalankannya sudah pun melepasi peringkat intensif keluli dan konkrit, iaitu peringkat struktur.
"Bagaimanapun, bagi projek yang baharu diperoleh, kenaikan kos ini telah pun diambil kira," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada masa sama, AmInvestment berkata, pembukaan semula sempadan Singapura mencerminkan perkembangan yang baik kepada Kimlun memandangkan aktiviti pembinaan kembali normal dan masalah kekurangan buruh dapat diselesaikan.
Setakat 11.13 pagi ini, harga saham Kimlun menokok 2.5 sen atau 3.18% kepada 81 sen dengan 353,700 saham diniagakan. - DagangNews.com








