AmInvestment jangka Sunway REIT laksana aktiviti pengambilalihan mulai FY23 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment jangka Sunway REIT laksana aktiviti pengambilalihan mulai FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Mac -  AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) dengan nilai wajar pada RM1.66.

 

Ini memandangkan pembukaan semula sempadan pada 1 April ini akan memberi manfaat kepada segmen hotel dan peruncitan kumpulan terutama apabila perjalanan antarabangsa kembali bergerak, menurut firma itu dalam nota kajian hari ini.

 

Menerusi taklimat secara maya baru-baru ini, jelasnya, kumpulan secara aktif sedang meninjau aset berkualiti dalam kedua-dua segmen perkhidmatan dan industri.

 

"Kami menjangkakan sebarang pengambilalihan berpotensi dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang akan menjadi tambahan kepada pendapatan boleh agihnya. 

 

"Jangkaan ini memandangkan hasil sewa yang lebih tinggi daripada permintaan kukuh bagi hartanah untuk penjagaan kesihatan, pendidikan, logistik, pusat data dan pembuatan bernilai tinggi.

 

"Selain itu, kami juga menyukai segmen ini kerana pengaturan pajakan induk jangka panjang mereka yang akan menyumbang kepada pendapatan sewa yang lebih stabil kepada kumpulan," katanya.

 

Sunway REIT merupakan pilihan utama AmInvestment bagi sektor REIT disokong oleh kepelbagaian portfolio pelaburannya yang terdiri daripada ruang niaga di pusat beli-belah, perhotelan, pejabat, universiti dan hospital di seluruh negara. 

 

Malah, ia juga memiliki kadar penghunian melebihi 90% bagi aset peruncitan dan pendapatan sewa yang stabil menerusi segmen perkhidmatan dan perindustrian.

 

Menurut firma itu, Sunway REIT menyasarkan untuk mengembangkan hartanahnya di bawah segmen perindustrian dan perkhidmatan antara 20 hingga 30% (berbanding 12% dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021) daripada jumlah nilai hartanah kumpulan dalam tempoh 5 tahun akan datang.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21), segmen tersebut menyumbang 23% daripada jumlah pendapatan hartanah bersih.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan aktiviti pengambilalihan hanya akan dilaksanakan mulai FY23 dan seterusnya. 

 

"Ini disebabkan aktiviti peningkatan aset secara berterusan di Sunway Carnival Shopping Mall dan Hotel Sunway Resort, yang dijadualkan selesai menjelang 2022 dan tumpuan kepada pemulihan pasca pandemik dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa,” katanya.

 

Jelas AmInvestment lagi, kumpulan juga sedang meninjau untuk berkembang dalam pasaran luar negara menerusi usaha sama atau kerjasama dengan pemain terkemuka dalam tempoh 5 tahun lagi. 

 

"Langkah ini dijangka mempelbagaikan portfolio REIT yang berorientasikan tempatan. Ia menyasarkan untuk memiliki 10% hingga 20% hartanah asing dalam jumlah nilai hartanahnya.

 

Dalam jangka sederhana hingga panjang, firma itu berkata, Sunway REIT sedang melihat inisiatif peningkatan aset yang berpotensi di Sunway Pyramid Shopping Mall.

 

"Kami juga dapati, nisbah hutang kepada aset Sunway REIT telah meningkat 3.5 mata peratusan tahun ke tahun kepada 37.2%, di bawah nilai ambang kawal selia sebanyak 60%, justeru, kami percaya terdapat kapasiti yang mencukupi untuk membiayai sebarang pengambilalihan pada masa depan dengan tambahan pinjaman," jelasnya. -DagangNews.com