AirAsia X tawar tambang serendah RM499 ke Perth, tambah tiga laluan utama baharu Australia dan New Zealand | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia X tawar tambang serendah RM499 ke Perth, tambah tiga laluan utama baharu Australia dan New Zealand

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SEPANG 18 Julai - AirAsia X (AAX) mengumumkan perkhidmatan baharu ke Melbourne (Tullamarine) dan Perth di Australia serta Auckland di New Zealand bermula 1 November 2022.

 

Semua laluan utama ini meningkatkan rancangan pertumbuhan teguh syarikat penerbangan itu dengan menawarkan 13 laluan yang akan beroperasi pada tahun ini, termasuk Sydney, New Delhi, Seoul, Tokyo, Sapporo, Osaka dan Honolulu serta London, Dubai dan Istanbul.

 

AAX akan memulakan semula perkhidmatannya ke Melbourne (Tullamarine), Perth dan Auckland (melalui Sydney) dengan tiga penerbangan mingguan mulai November dan akan meningkatkan kekerapan kepada penerbangan harian secara beransur-ansur menjelang suku pertama tahun 2023 untuk memenuhi peningkatan permintaan.

 

Nikmati tambang bernilai hebat dari Kuala Lumpur ke ketiga-tiga destinasi baharu yang tersedia untuk tempahan di airasia Super Super dan laman web daripada RM499 ke Perth, RM699 ke Melbourne dan RM1,999 ke Auckland termasuk semua, sehala di kelas Ekonomi. 

 

Para tetamu juga boleh menikmati Premium Flatbed daripada RM1,999 ke Perth, RM2,999 ke Melbourne dan RM5,999 ke Auckland sehala.

 

Para tetamu yang terbang ke Kuala Lumpur juga boleh menikmati tambang bernilai hebat termasuk semua sehala daripada AUD$209 dari Perth, AUD$359 dari Melbourne dan NZD$499 dari Auckland di kelas Ekonomi dan daripada AUD$1,099 dari Perth, AUD$1,999 dari Melbourne dan NZD$1,999 dari Auckland untuk Premium Flatbed.

 

AAX juga terbang dari Kuala Lumpur ke Sydney dengan tambang termasuk semua sehala daripada RM899 di kelas Ekonomi dan RM2,799 untuk Premium Flatbed, serta tambang pulang daripada AUD$309 di kelas Ekonomi dan AUD$899 untuk Premium Flatbed bermula September 2022.

 

 

airasia

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail berkata, mereka kembali memulakan perkhidmatan ke Lapangan Terbang Melbourne (Tullamarine) yang menawarkan lebih fleksibiliti dan rangkaian untuk para tetamu yang melakukan perjalanan ke/dari negeri Victoria.

 

“Pada tahun 2019, kami telah menerbangkan lebih sejuta tetamu ke kedua-dua buah negara, yang menunjukkan bahawa Australia dan New Zealand adalah pasaran penting dan kami juga menghubungkan jumlah yang sama warga Australia dan New Zealand ke Malaysia dan merentasi ASEAN. 

 

 

airasia

 

 

“Berikutan sempadan dunia dibuka semula dan sekatan perjalanan semakin berkurangan, kami yakin perkhidmatan baharu ini akan memenuhi permintaan ramai. Tambahan pula, Premium Flatbed kami kekal sebagai tempat duduk kos rendah terbaik dan sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada para tetamu ke/dari Australia dan New Zealand," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Penerbangan Lapangan Terbang Melbourne, Jim Parashos pula berkata, pengembalian AirAsia X ke Lapangan Terbang Melbourne merupakan bukti kemudahan dan daya saing lapangan terbang itu.

 

 

airasia

 

 

airasia

 

 

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Lapangan Terbang Perth, Kevin Brown memaklumkan, pemulihan sektor penerbangan Australia Barat telah diberi satu lagi rangsangan dengan perkhidmatan AirAsia X. 

 

Pengurus Besar Lapangan Terbang Auckland dan Bahagian Komersial Aeronautik, Scott Tasker berkata, mereka tidak sabar untuk melihat AirAsia X mendarat semula di Lapangan Terbang Auckland pada November ini. 

 

"Perkhidmatan baharu itu bukan sahaja akan menyediakan lebih banyak pilihan untuk pengembara trans-Tasman yang mencari tambang kompetitif di laluan popular antara Sydney dan Auckland, malah merupakan pilihan terbaik untuk sambungan ke rangkaian di Asia yang luas oleh AirAsia," katanya. - DagangNews.com