AirAsia mansuh syarat pemakaian pelitup muka dalam penerbangan  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia mansuh syarat pemakaian pelitup muka dalam penerbangan 

Gambar AirAsia
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Sept - Susulan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan dalam pesawat, AirAsia Malaysia turut memansuhkan syarat pemakaian pelitup muka di dalam penerbangannya berkuat kuasa serta-merta.

 

AirAsia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pemakaian pelitup muka di dalam penerbangan AirAsia Malaysia adalah atas pilihan para tetamu, kecuali jika mereka melakukan perjalanan ke atau dari destinasi yang memerlukan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam. 

 

Menurutnya, para tetamu yang ingin memakai pelitup muka di dalam penerbangan boleh terus berbuat demikian.

 

"Keselamatan para tetamu adalah keutamaan bagi kami di AirAsia, dan kami akan terus beroperasi dengan standard keselamatan yang ketat. 

 

"Semua pesawat kami dilengkapi dengan penapis HEPA yang mampu menghapuskan 99.99% zarah habuk dan bahan cemar bawaan udara termasuk virus dan bakteria. Udara kabin disegarkan sepenuhnya setiap tiga minit untuk memastikan kualiti udara adalah pada tahap maksimum sepanjang penerbangan mereka," katanya.

 

AirAsia akan terus mengemas kini garis panduan mengenai penggunaan pelitup muka di dalam penerbangan di semua pasaran mereka di samping kembali menerbangkan para tetamu ke destinasi mereka. - DagangNews.com