AirAsia Academy, Yayasan Chow Kit jalin kerjasama sediakan pendidikan untuk kanak-kanak, belia tercicir | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia Academy, Yayasan Chow Kit jalin kerjasama sediakan pendidikan untuk kanak-kanak, belia tercicir

AirAsia Academy menyediakan platform untuk pembelajaran menerusi video, penilaian automatik, buku elektronik dan alatan pembelajaran untuk pelajar yang memerlukan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Mac - Cabang pendidikan RedBeat Capital di bawah Capital A, AirAsia Academy telah bekerjasama dengan Yayasan Chow Kit, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang membantu kanak-kanak dan belia kurang bernasib baik di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur. 

 

Kerjasama ini menyaksikan AirAsia Academy menyediakan platform untuk pembelajaran menerusi video, penilaian automatik, buku elektronik dan alatan pembelajaran lain untuk pelajar yang memerlukan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Academy, Aireen Omar berkata, pihaknya berbesar hati bekerjasama dengan Yayasan Chow Kit bagi membantu kanak-kanak dan belia kurang bernasib baik, berikutan pandemik global sekali lagi menyerlahkan ketidaksamaan akses kepada pendidikan percuma dan sama rata untuk kanak-kanak di Malaysia. 

 

Beliau berkata, melalui platform dalam talian yang mudah digunakan pelajar, menjimatkan masa dan sumber institusi pendidikan, pihaknya ingin mendemokrasikan pembelajaran serta meningkatkan kebolehcapaian untuk semua golongan, sejajar dengan visi AirAsia Academy dan Capital A.

 

"Platform ini menawarkan ciri yang membantu pendidik memantau dan menganalisis kemajuan pelajar dalam subjek yang dipilih sehingga tamat kursus, termasuk tingkah laku dan prestasi pembelajaran pengguna, data aktiviti kursus, profil prestasi pengguna dan lain-lain. 

 

"Akademi ini juga akan membantu memastikan bahawa kanak-kanak dan belia daripada semua latar belakang boleh belajar mengikut kemampuan mereka sendiri sambil menggalakkan penyiapan kursus melalui komunikasi yang menyeluruh dalam kalangan pelajar dan pengajar," katanya dalam satu kenyataan.

 

Aktivis kanak-kanak dan Pengasas Bersama Yayasan Chow Kit, Datuk Dr. Hartini Zainudin pula berkata, akses kepada pendidikan percuma dan sama rata tidak ditawarkan kepada semua kanak-kanak di Malaysia dan ia diketengahkan lagi oleh pandemik semasa.

 

Beliau berkata, pengangguran dalam kalangan belia juga amat tinggi, dan para pendidik serta kakitangan di Yayasan Chow Kit menyedari kepentingan untuk mewujudkan program alternatif untuk kanak-kanak ini terus berkembang maju dan menamatkan pendidikan mereka. 

 

"Kerjasama dengan AirAsia Academy membolehkan kanak-kanak dan belia mempelajari kurikulum melalui aktiviti, pembelajaran dan bahan rujukan daripada aplikasi Jom Tuisyen serta program latihan untuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan asas, kemahiran dan kecekapan bagi pendidikan lepasan menengah, bekerja, dan kemahiran sara hidup. 

 

"Pada masa hadapan, kami mahu mencipta latihan atau peluang pekerjaan melalui kerjasama dengan AirAsia Academy," katanya.

 

Selain menyediakan keupayaan sistem pengurusan pembelajaran yang canggih, platform AirAsia Academy juga dilengkapi dengan kandungan atas permintaan yang meluas untuk para pelajar. 

 

Kini mereka dapat belajar tentang pengaturcaraan, SEO dan kepimpinan sambil mengikuti pembelajaran di sekolah mereka. 

Sekolah pula boleh memanfaatkan data pelajar mereka, tingkah laku dan prestasi pembelajaran termasuklah pengambilan dan penyiapan kursus, aktiviti pembelajaran, cabaran, dan prestasi penilaian mereka. - DagangNews.com