Ahmad Noor Azhari dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Re baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ahmad Noor Azhari dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Re baharu

Ahmad Noor Azhari Abdul Manaf
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mac - MNRB Holdings Bhd (MNRB) mengumumkan pelantikan Ahmad Noor Azhari Abdul Manaf sebagai Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re) yang baharu berkuat kuasa 1 April 2023. 

 

MNRB dalam kenyataan hari ini memaklumkan, beliau menyandang jawatan tersebut bagi menggantikan Zainudin Ishak yang tamat kontrak pada 1 April 2023.

 

Katanya, Ahmad Noor Azhari membawa bersamanya pengalaman hampir tiga dekad dalam industri yang mana selama 7 tahun berkhidmat dengan Malaysian Re. 

 

"Pada masa ini beliau ialah Ketua Pegawai Pengunderaitan Malaysian Re, jawatan yang disandangnya sejak 1 Disember 2021. 

 

"Beliau juga bertanggungjawab menerajui perniagaan syarikat di Asia, Eropah, Timur Tengah, Afrika dan pasaran Amerika Utara.

 

"Sebelum menyertai Malaysian Re pada 2016, Ahmad Noor Azhari adalah Pegawai Utama Kuwait Re Far East Regional Office," katanya.

 

Pengerusi Malaysian Re, George Oommen berkata, ahli lembaga menghargai kepercayaan dan sokongan yang telah diberikan oleh Ahmad Noor Azhari kepada syarikat. 

 

Katanya, pelantikan ini mengiktiraf sumbangan besar beliau kepada Malaysian Re setelah berkhidmat dengan syarikat selama hampir 7 tahun. 

 

"Beliau telah memegang pelbagai jawatan kepimpinan sepanjang kerjayanya dengan syarikat dan telah memainkan peranan penting dalam membentuk pertumbuhan dan inovasi sepanjang tempoh perkhidmatannya. 

 

"Kami yakin gabungan kemahiran dan pengalaman kepimpinan beliau akan memacu lagi kejayaan perniagaan domestik dan antarabangsa Malaysian Re," katanya.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Zaharudin Daud berkata, Ahmad Noor Azhari mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam memacu perniagaan insurans semula kumpulan, khususnya dalam mengembangkan perniagaannya di luar negara. 

 

"Beliau sentiasa mempamerkan semangat dan dorongan kuat dan kami percaya beliau akan dapat menerajui syarikat serta menyampaikan kecemerlangan perkhidmatan kepada pelanggan dan rakan kongsi kami," katanya. - DagangNews.com