AEON sumbang RM4 juta untuk Bakul Prihatin Negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AEON sumbang RM4 juta untuk Bakul Prihatin Negara

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, AEON Co. (M) Bhd., Shafie Shamsuddin (dua dari kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM4 juta kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam. Turut kelihatan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dan Ketua Pegawai Sumber Manusia (Sumber Manusia dan Komunikasi Korporat) AEON Co. (M) Bhd., Dr. Kasuma Satria.

 

 

KUALA LUMPUR 16 Julai - AEON Group Malaysia menyampaikan sumbangan berjumlah RM4 juta kepada kerajaan bagi membantu meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan inisiatif serantau oleh AEON Co., Ltd. (Japan) berjumlah 350 juta yen (bersamaan dengan RM13 juta) bagi membantu melindungi keselamatan dan kesejahteraan penduduk di negara-negara ASEAN dalam menghadapi pandemik global ini. 

 

Melalui peruntukan ini, AEON Co., Ltd. (Japan) turut menyumbang untuk program vaksinasi COVID-19 kepada Vietnam, Indonesia, Thailand dan Kemboja, selain memberikan sumbangan ke atas program-program bantuan yang berkaitan.

 

Majlis yang diadakan di Putrajaya semalam menyaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerima sumbangan dari Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, AEON Co. (M) Bhd., Shafie Shamsuddin, bagi pihak AEON Group Malaysia. 

 

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

 

AEON menyalurkan bantuan ini kepada kerajaan melalui Yayasan Kebajikan Negara, iaitu sebuah yayasan kebajikan di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. 

 

Dana tersebut akan dimanfaatkan untuk program Bakul Prihatin Negara.

 

Shafie berkata, AEON Group Malaysia akan terus bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan program bantuan dan vaksinasi COVID-19 berjaya dijalankan demi kepentingan rakyat. 

 

"Sehubungan itu, kami menawarkan kesemua 42 pusat beli-belah kami di seluruh negara sebagai lokasi bank makanan dan pusat vaksinasi COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

AEON Group Malaysia berinspirasi untuk memberikan kesihatan dan kesejahteraan yang baik untuk semua, yang mana usaha ini adalah selari dengan jejak kelestarian syarikat. 

 

Ia termaktub di dalam Tujuan Perniagaan AEON Group Malaysia yang merangkumi tiga paksi utama iaitu Manusia, Planet dan Keamanan, yang juga bersandarkan kepada Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu. - DagangNews.com