Aeon lancar kempen 100-hari ‘Jimat Poket’ bantu ringan kos sara hidup | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aeon lancar kempen 100-hari ‘Jimat Poket’ bantu ringan kos sara hidup

Datuk Rosol Wahid, (empat dari kanan) bersama Timbalan Pengarah Urusan Aeon, Tsutomu Motomura; Datuk Iskandar Sarudin dan Shafie Shamsuddin bersama 37 syarikat yang dianugerahkan dengan Anugerah Kecemerlangan Aeon1000.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Jun - Aeon Co. (M) BHD. (Aeon) mengumumkan inisiatif 100-hari ‘Jimat Poket’ dengan kerjasama rakan-rakan niaga yang berlangsung dari 1 Jun 2022 hingga 16 September 2022 sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan peningkatan kos sara hidup.

 

‘Jimat Poket’ menampilkan dua pakej (bundle) menarik yang terdiri daripada barangan keperluan seperti beras, minyak masak, mee, biskut, kopi, gula dan lain-lain untuk dipilih para pelanggan. ‘Bundle’ RM60 terdiri daripada 15 barangan komoditi manakala ‘bundle’ RM100 mempunyai 18 barangan komoditi.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shafie Shamsuddin berkata, mereka bersyukur kerana dapat memperkenalkan inisiatif tersebut dalam usaha memastikan harga barangan asas tidak melambung secara drastik dan memberi sedikit ruang untuk para pelanggan menyesuaikan diri dengan landskap pasaran semasa. 

 

"Melalui kolaborasi dengan rakan-rakan niaga, kami mahukan para pelanggan tahu bahawa kami peka dengan kegusaran mereka. Kami sentiasa mendengar dalam memastikan perkhidmatan terbaik dapat disampaikan memandangkan keperluan mereka sentiasa menjadi keutamaan kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Terdahulu, inisiatif ‘Jimat Poket’ diumumkan di ‘Aeon1000: Suppliers & Partners Conference 2022’ (Aeon1000) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

 

Aeon1000 dihadiri oleh kira-kira 1,000 peserta yang terdiri daripada para penggerak dan katalis pelbagai industri termasuk FMCG, pembuatan dan pengeluaran makanan, logistik dan rantaian bekalan, perkhidmatan kewangan dan banyak lagi. 

 

Bertemakan 'Melahirkan Komuniti Mampan', tujuan persidangan tersebut adalah bagi mencetuskan tindakan transformasi daripada pelbagai pemegang taruh untuk berjaya di dalam tatacara dan pertumbuhan peruncitan baharu. 

 

 

aeon

 

 

Pengerusi Aeon, Datuk Iskandar Sarudin berkata, mereka sentiasa komited untuk menggerakkan inisiatif kemampanan kami ke hadapan melalui usaha sama dan kolaborasi bersama pemegang taruh. 

 

"Kami sentiasa percaya bahawa perniagaan yang mampan merupakan perniagaan yang bukan sahaja tentang pulangan kewangan, tetapi juga melindungi alam sekitar, mempertingkatkan motivasi pekerjanya dan dalam kes kami, Aeon People, serta meningkatkan komuniti dan ekosistemnya," katanya.

 

 

aeon

 

 

Pada majlis itu, para peserta telah diperkenalkan dengan ‘Aeon Sustainability Charter’, yang merupakan bentuk komitmen tertinggi Aeon ke arah memperjuangkan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

 

Sebanyak 37 buah syarikat yang terdiri daripada rakan niaga merchandise, penyewa dan korporat Aeon menerima Anugerah Kecemerlangan Aeon1000 di dalam pelbagai kategori. 

 

 

aeon

 

 

Anugerah tersebut disampaikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid. - DagangNews.com