83% syarikat di Malaysia alami kesukaran cari bakat baru - kajian Robert Walters | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

83% syarikat di Malaysia alami kesukaran cari bakat baru - kajian Robert Walters

KUALA LUMPUR 29 Sept – Tinjauan terbaharu perunding pengambilan professional dunia Robert Walters mendapati fenomena perletakan jawatan besar-besaran atau dikenali sebagai ‘Great Resignation’ yang banyak dilaporkan sebelum ini dilihat tidak terlalu menyerlah di Asia Tenggara. 

 

Golongan profesional di rantau ini menghargai jaminan pekerjaan ketika waktu-waktu yang tidak menentu, dengan lebih separuh (59%) menyatakan mereka tidak selesa untuk berhenti kerja tanpa tawaran kerja baru, dan 81% daripada jumlah itu yang terfikir untuk meletakkan jawatan sanggup menukar fikiran jika keadaan membenarkan.

 

Pengurus Robert Walters Malaysia, Ai Rene Tan berkata, pengalaman positif pekerja sangat penting dalam suasana pekerjaan hari ini. 

 

"Menyedari dan mengiktiraf bakat, jaminan kerja dan memenuhi keperluan pekerja untuk kesejahteraan yang lebih baik adalah penting untuk menarik dan mengekalkan bakat. 

 

"Kepimpinan yang baik dan budaya kerja positif juga memberi kesan dalam menggajikan bakat-bakat baru," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Ai Rene Tan
AI RENE TAN

 

 

Tinjauan Robert Walters Great Resignation Reality Check merumuskan pandangan lebih 2,600 profesional dan lebih 1,100 syarikat, untuk lebih memahami sikap terhadap peletakan jawatan, situasi pemberhentian dan mendalami motif pekerja yang kekal bekerja. 

 

Ia dijalankan pada Jun 2022 dan menjangkau enam negara Asia Tenggara (Singapura, Malaysia, Filipina, Thailand, Indonesia dan Vietnam).

 

Selain daripada jaminan pekerjaan, tinjauan itu mendapati profesional di Malaysia menghargai pakej gaji yang tinggi, kepimpinan yang baik dan budaya tempat kerja yang sihat. Ini merupakan antara faktor yang mampu mengekalkan bakat.

 

Menggajikan bakat baharu kekal menjadi cabaran di Asia Tenggara, terutamanya di Malaysia yang menyaksikan 83% syarikat mengalami kesukaran untuk berbuat demikian pada tahun lalu. 

 

Salah satu cabaran besar untuk menggajikan pekerja adalah jangkaan tinggi terhadap gaji dan manfaat, dengan kadar 66%.

 

Di samping itu, 79% profesional yang ditinjau di seluruh Asia Tenggara berniat untuk meletak jawatan pada 2021, hampir separuh (42%) tidak berbuat demikian.

 

Malaysia menyaksikan profesional paling ramai (82%) yang terfikir untuk berhenti kerja pada tahun lalu, diikuti Singapura (80%) dan Thailand (80%). 

 

Bagaimanapun, 62% profesional di Malaysia tidak akan berhenti kerja tanpa peluang yang lebih baik, meletakkan Malaysia satu kedudukan di belakang Singapura (64%).

 

Daripada 82% profesional di Malaysia yang terfikir untuk meletak jawatan tahun lalu, 39% akhirnya kekal kerana tidak menjumpai kerja baru (58%), tidak yakin dengan budaya dan kesesuaian tempat kerja baru (26%) dan risau mengenai jaminan pekerjaan di syarikat baru (25%).

 

Kira-kira 4 dalam 5 profesional (81%) akan mempertimbangkan niat mereka untuk letak jawatan jika keadaan bersesuaian. 

 

Kenaikan gaji terus menjadi faktor penentu utama, perubahan tanggungjawab kerja (26%), dan perubahan kepimpinan (24%) menjadi faktor lain yang penting membuatkan mereka menukar fikiran. - DagangNews.com