KUALA LUMPUR 14 Mac - Sebanyak 301 projek perumahan swasta di Semenanjung didapati terbengkalai, membabitkan 52,657 pembeli direkodkan bagi tempoh 2009 hingga 31 Januari lalu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib, berkata sebanyak 217 projek daripada jumlah itu membabitkan 40,145 pembeli berstatus siap diduduki atau selesai.
"Sebanyak 14 projek dengan 5,295 unit membabitkan 4,116 pembeli sedang dipulihkan.
"Bagi status pemulihan dalam perancangan pula, ia membabitkan 70 projek dengan 8,396 pembeli," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) mengenai tindakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam menangani isu rumah terbengkalai.
Ismail berkata, KPKT sentiasa mengkaji, menyemak dan mengambil inisiatif untuk mengatasi masalah projek perumahan terbengkalai bagi membantu pembeli.
Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan adalah mengenal pasti pemaju berkeupayaan dan berpengalaman untuk mengambil alih pemulihan projek perumahan swasta terbengkalai, menurut Berita Harian.

"KPKT turut melaksanakan pemulihan projek perumahan swasta terbengkalai terutama kategori kos rendah dan sederhana rendah melalui peruntukan yang disediakan oleh kerajaan.
"Kita turut bekerjasama dengan Jabatan Insolvensi Malaysia dan pelikuidasi swasta bagi membantu memulihkan projek perumahan terbengkalai.
"Kementerian bertindak sebagai pemudah cara atau mediator bagi membantu pelikuidasi dan kontraktor penyelamat untuk berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi teknikal serta pihak pembiaya (institusi kewangan)," katanya. - DagangNews.com








