2020: Ekonomi Malaysia mendahului negara maju termasuk Jepun, Jerman | DagangNews Skip to main content

2020: Ekonomi Malaysia mendahului negara maju termasuk Jepun, Jerman

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Walaupun ekonomi negara berdepan cabaran getir akibat penularan COVID-19, namun Malaysia berada di kedudukan lebih baik berbanding negara-negara jiran dari segi prestasi daya saing.

Malah, laporan ‘Doing Business 2020’ oleh Bank Dunia meletakkan ekonomi Malaysia di kedudukan ke-12 daripada 190 ekonomi mendahului negara-negara maju seperti Jepun, Jerman dan Switzerland. 

Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, prestasi itu sekali gus menyaksikan Malaysia melonjak tiga anak tangga berbanding kedudukan ke-15 pada tahun lalu.

“Prestasi Malaysia pada 2020 mendahului negara maju seperti Jerman (22), Kanada (23), Jepun (29), Perancis (32) dan Switzerland (36). Berdasarkan 'Global Competitiveness Report 2019' yang dikeluarkan oleh World Economic Forum (WEF), Malaysia berada di kedudukan ke-27 antara 141 ekonomi.

"Kedudukan Malaysia mengatasi kebanyakan negara jiran seperti Thailand (40), Indonesia (50), Filipina (64) dan Vietnam di kedudukan 67," katanya kepada Dewan Rakyat hari ini ketika sesi menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Diraja.

Dalam pada itu, sebanyak 725 projek perkilangan dan perkhidmatan yang dijangka bernilai RM36.7 bilion sedang dinilai oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

azmin ali
Mohamed Azmin Ali

 

Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, sebanyak RM19.2 bilion adalah pelaburan langsung domestik dan RM17.5 bilion merupakan pelaburan langsung asing.

Bagaimanapun,  bagi tempoh Januari hingga Jun 2020, jumlah perdagangan negara menurun sebanyak 7% kepada RM833.36 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu akibat COVID-19.

Sehubungan itu, MITI giat membangunkan Pelan Induk Perindustrian Baharu yang membabitkan perancangan strategi dan pelan tindakan khusus, termasuk dalam meningkatkan pelaburan dan daya saing negara bagi tempoh 2021-2030.

"Lebihan dagangan bernilai RM64.61 bilion iaitu menurun 4.1% berbanding tempoh sama pada 2019.

"Prestasi perdagangan sama turut dialami oleh negara di rantau ini seperti Singapura yang mencatatkan pengurangan perdagangan sebanyak 10%, Indonesia (9.9%) dan Thailand (9.8%)," katanya. - DagangNews.com