Anwar `menyerang balas' terhadap `2 Tun', kata Sin Chew Jit Poh | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 22 January 2024

Anwar `menyerang balas' terhadap `2 Tun', kata Sin Chew Jit Poh

Sin Chew Jit Poh 20 Januari 2024

 

 

 

DRAMA Perdana Menteri Malaysia sememangnya berwarna-warni. Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan pada November tahun lepas, beberapa siri siasatan telah dilancarkan atas nama memerangi rasuah.

 

Langkah berani Anwar ini, bukan sahaja mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh PM terdahulu dalam menangkap ‘ikan besar, malah memberi kepuasan kepada orang ramai yang tidak sabar untuk melihat kekayaan ‘2 Tun’ didedahkan satu persatu.


 

hikayat

 


Kekayaan terkumpul tanpa halangan

Pada tahun ke - 22 Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi PM, beliau memecat Anwar Ibrahim sebagai timbalannya yang pada ketika itu sedang berada kemuncak kuasa.

 

Kemudian, orang ramai mula mendengar tentang kebangkitan Tun Daim Zainuddin, individu yang paling rapat dan dipercayai Mahathir, sebagai talian hayat kewangan kerajaan dan perniagaan negara.

 

Tiada siapa yang tahu berapa banyak peluang yang diperoleh keluarga Mahathir dan Daim menerusi tukaran matawang asing. Benar atau tidak, itulah spekulasi dan cerita dongeng yang tersebar.

 

Selepas Mahathir berundur dan Abdullah Badawi (Pak Lah) mengambil alih, buat seketika kerajaan memasuki tempoh stabil.

 

Kroni Pak Lah masing-masing melakukan hal mereka sendiri, dan rangkaian perniagaan keluarga 2 Tun juga langsung tidak terjejas atau diganggu, sebaliknya mereka terus berkembang.

 

Pada masa itu, wakil keluarga mereka sentiasa ada dalam senarai orang kaya Malaysia. Anak-anak Mahathir terus bangkit menjadi ahli perniagaan berjaya.

 

Begitu juga keluarga Daim yang berterusan melakukan pengambilalihan perniagaan. 2 Tun ini membentuk salah satu konsortium paling berkuasa di negara ini dan perniagaan mereka juga menembusi pelosok dunia.


 

hikayat

 


Kemudian apabila Najib Razak mengambil alih jawatan PM, tidak kira seteruk mana Tun Mahathir menyerang, Najib hanya melawan secara lisan dan langsung tidak menggunakan kuasa kerajaan untuk menyiasat keluarga Tun Mahathir.

 

Sebaliknya Najib sendiri pula meluaskan wilayah perniagaannya sendiri. Ini menjadikan keluarga 2 Tun semakin licik kerana tiada gangguan dan kejutan.

 

Anti rasuah sekadar laungan kosong

Apabila kerajaan bertukar tangan dan Tun Mahathir kembali semula ke tahkta, Najib telah ditolak dalam keadaan terdesak. Namun keadaan keluarga 2 Tun pula terus bertambah baik dan selesa.

 

Walaupun Anwar dibebaskan melalui perjanjian politik, beliau terpinggir dan hanya disuruh duduk menunggu cukup tempoh untuk pegang jawatan.  Masih lagi slogan anti rasuah dilaungkan oleh kerajaan baharu tetapi sasaranya lebih kepada kerajaan terdahulu.

 

Sehinggalah Muhyiddin Yassin dan beberapa orang rakannya membenarkan pintu belakang dibuka bagi memaksa Tun Mahathir berundur. Lantaran itu, slogan anti rasuah dan ubah tampok pemerintahan hanya sekadar laungan.

 

Dalam tempoh tersebut sehingga Ismail Sabri menjadi PM jangka pendek dalam sejarah Malaysia, slogan anti rasuah tidak pernah berhenti.

 

Meskipun peta perniagaan 2 Tun menjadi sebutan, ia tidak pernah di bawa ke meja siasatan dan rahsianya masih belum terbongkar.


 

wainuiomata
Pertemuan Anwar dan Tun Daim pada 8 September 2018

 


Anwar ambil langkah berani

Sehinggalah Anwar Ibrahim berjaya menembusi kepungan Perikatan Nasional (PN) dan Tun Mahathir, kemudian dilantik memegang jawatan PM. Namun serangan terhadap Anwar tidak pernah berhenti sehingga wujud beberapa siri rancangan untuk menjatuhkan beliau.

 

Mungkin juga serangan-serangan ini telah memberi keazaman kepada Anwar Ibrahim, mengapa tidak selesaikan dendam lama dan baru bersama-sama.

 

Sekurang-kurangnya dapat memberi kepuasan kepada ketidakadilan yang dialami beliau selama ini. Dan pada masa sama menuntut penjelasan berhubung keadaan kewangan negara selama ini.

 

Oleh itu pada tahun lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap rakan kongsi baik 2 Tun.

 

Selama ini SPRM tidak pernah berani untuk menyentuh 2 Tun ini. Sudah tentu ramai yang teruja kerana akhirnya misteri kekayaan 2 Tun ini bakal dibongkarkan. Siasatan juga termasuk skandal pembiayaan 2 PM yang lepas iaitu Muhyiddin dan Ismail Sabri.

 

Hari ini, beberapa harta dan aset bekas Menteri Kewangan, Tun Daim telah dibekukan untuk semakan. Beliau, isteri dan dua anaknya telah dipanggil oleh SPRM untuk merakamkan keterangan.

 

Begitu juga anak sulung Tun Mahathir telah memberi kerjasama yang baik dengan SPRM sebanyak 2 kali. Siasatan yang lebih mendalam akan diteruskan untuk mengetahui ke mana perginya wang kerajaan dan dari mana datangnya kekayaan mereka.


 

hikayat

 


Pada masa ini, Anwar tetap bertegas memberitahu rakyat bahawa beliau akan menunaikan janji tidak menerima gaji PM sehinggalah ekonomi negara benar-benar pulih. Begitu juga menteri-menterinya akan meneruskan pemotongan 20% gaji.

 

Anwar akan terus mencipta nama baik kerajaannya berbanding kerajaan terdahulu yang banyak membelanjakan wang negara. Terima kasih juga dengan usaha SPRM, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim hari ini mendapat skor yang baik! - DagangNews.com

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 20 Jan 2024, telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

 

 

 

parafrasa

 

 

Portfolio Tags