Pemilik saham syarikat sdn. bhd. jangan mati ya... | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 31 May 2023
anekdot

PEMILIK SAHAM SYARIKAT SDN BHD JANGAN MATI YA …

 

 

INI nasihat yang secara sinis saya berikan kepada pemilik saham syarikat sdn bhd apabila ditanya. Kenapa saya berikan nasihat begini?

 

Kerana Syarikat Sdn Bhd kemungkinan besar akan mati sejurus selepas pemegang saham itu mati. Jadi kalau pemilik saham Syarikat Sdn Bhd mahukan syarikatnya terus beroperasi, dia jangan matilah. Ada banyak masalah yang menunggu terkait isu saham syarikat sdn bhd itu.

 

Saya mungkin pernah bercerita isu pewarisan saham sebelum ini tetapi kali ini saya akan menumpukan isu pengurusan Syarikat sdn bhd apabila pemegang sahamnya mati.

 

Minggu lepas saya mengendalikan satu sesi PEWARISAN PERNIAGAAN dengan beberapa orang usahawan. Saya adalah di antara beberapa orang di Malaysia yang aktif bercerita isu ini semenjak 1998.

 

Saya berkongsi dengan pemegang saham muslim impak kematian mereka kepada survival perniagaan. Memang ramai orang di luar sana yang telah dan sedang bercerita tentang hukum faraid, wasiat, hibah dan harta pusaka tetapi tidak ramai yang menyentuh isu survival perniagaan apabila pemegang saham mati terutamanya Syarikat Sdn Bhd.

 

Semenjak 1998, saya telah melihat dengan mata kepala saya sendiri syarikat-syarikat yang mati selepas pemegang saham mati terutamanya jika yang mati ialah pengasasnya.

 

Antara punca utama kepada keadaan ini ialah kerana kegagalan pemegang saham itu merancang secara spesifik pewarisan perniagaannya terutama dari segi survival perniagaan.

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Saya juga seorang pemegang saham dan pengarah Syarikat. Sebagai orang yang menerajui syarikat saya tahu bahawa orang seperti kami akan sibuk menghabiskan masa kami  menguruskan perniagaan.

 

Keutamaan kami ialah untuk meningkatkan kecekapan operasi dan menambahkan keuntungan Syarikat melalui pelbagai aktiviti. Kami sibuk ke hulu dan ke hilir menghadiri pelbagai mesyuarat.

 

Jadi pemegang saham yang menguruskan perniagaan tiada masa untuk duduk mendengar dan faham isu pewarisan perniagaan. Apabila berlaku kematian, saham yang dimiliki itu juga merupakan harta pusaka kepadanya dan berhak ke atas waris-warisnya mengikut hukum faraid.

 

Di sinilah kekecohan mula berlaku seperti kes popular saham RM1 bilion yang sedang dibicarakan sekarang. Sebelum ini saya sudah banyak mengulas isu hak waris ke atas saham syarikat.

 

Mungkin boleh dirujuk semula penulisan saya di Anekdot Mawarith portal Dagang News ini jika ingin tahu lebih lanjut.

 

ANEKDOT MAWARITH: Syarikat mati selepas pemegang saham mati

 

Bagi syarikat senaraian awam isu perebutan saham di antara waris-waris ini mungkin kurang memberikan kesan kepada survival dan operasi Syarikat kerana mereka sudah pun mempunyai tahap tadbir urus korporat baik yang membolehkan Syarikat terus beroperasi seperti biasa walaupun tanpa kehadiran pemegang saham.

 

Namun bagi pemegang saham Syarikat berstatus Sdn Bhd di mana pemegang saham itu ialah pengarah dan juga menguruskan operasi Syarikat secara ‘hands on’, kematian pemegang saham ini akan memberikan kesan sangat signifikan kepada operasi Syarikat selain daripada isu perebutan saham tadi.

 

Contohnya jika pemegang saham yang merupakan pengarah itu merupakan salah seorang penandatangan cek wajib atau orang yang bertanggungjawab menjadi ‘checker’ kepada akaun internet Syarikat, kematiannya akan mengakibatkan semua urusan transaksi bank tergendala.

 

Gaji kakitangan, bayaran kepada pembekal, bayaran kepada pengedar, komitmen kepada pembiaya (financiers) dan semua perkara berkaitan kewangan akan terjejas.   

 

Untuk menukar penandatangan cek atau ‘checker’ perbankan internet, bank akan memerlukan seorang penandatangan cek atau ‘checker’ baru dilantik.

 

Untuk tujuan ini, satu resolusi Lembaga pengarah perlu dibuat. Masalahnya simati yang merupakan pengarah itu sudahpun mati. Jadi resolusi Lembaga pengarah tidak boleh dibuat.

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Dari sudut undang-undang, pihak yang berkuasa untuk melantik pengarah ialah pemegang saham. Masalahnya dia sebagai pemegang saham juga telah mati. Saham-sahamnya kini sudah menjadi milik waris-waris mengikut hukum faraid.

 

Untuk membolehkan pemegang saham baru dilantik, semua waris hukum faraidnya perlu melalui proses perundangan untuk mendapatkan surat kuasa Mentadbir/perintah pembahagian dari Pejabat Pusaka Kecil (jika harta pusakanya kurang dari RM 2 juta) ataupun letter of administration / grant of probate (jika harta pusakanya lebih dari RM 2 juta).

 

Waris-waris mengikut hukum faraid perlu bermuafakat untuk melantik seorang Pentadbir bagi proses di atas. Saham-saham milik simati akan dipindahmilik kepada nama Pentadbir seperti tertera di dalam surat kuasa Mentadbir di atas.

 

Dari sudut undang-undang, Pentadbir ini ialah pihak yang mempunyai kuasa bersama-sama dengan pemegang saham lain untuk melantik pengarah yang baru. Namun kuasa Pentadbir itu tertakluk kepada persetujuan waris-waris hukum faraid kepada simati kerana saham itu bukanlah milik mutlak Pentadbir. Prosedur yang tepat perlu dilalui bagi urusan pelantikan pengarah baru ini.

 

Jika Pentadbir secara semberono atau unilateral tanpa persetujuan waris-waris hukum faraid simati membuat keputusan melantik pengarah yang baru,

 

Pentadbir boleh didakwa dengan kesalahan jenayah pecah amanah atau ‘breach of trust’. Dapatkah waris-waris mengikut hukum faraid kepada simati bermuafakat dan seiya sekata dengan Pentadbir ?

 

Berapa lama pula surat kuasa Mentadbir di atas dapat diperoleh? Ia bergantung pula kepada permuafakatan waris-waris dan berapa cepat mereka memulakan proses perundangan ini.

 

 

parafrasa

 

 

Perlu diingatkan bahawa proses perundangan ini bukan sahaja meliputi saham syarikat simati, malah perlu dimasukkan semua harta lain seperti tanah, rumah, akaun bank, kenderaan, barang kemas dan sebagainya.

 

Dalam pengalaman saya, jika di mahkamah tinggi sivil, jangka masa yang diperlukan mungkin sekitar 3 hingga 6 bulan manakala di Pejabat Pusaka Kecil masa yang diambil sekitar 8-12 bulan. Ini dalam keadaan waris-waris boleh bermuafakat dan cepat mengambil inisiatif pengurusan pusaka.        

 

Jika waris-waris gagal bermuafakat dan banyak masalah di antara mereka, proses ini berkecenderungan untuk berlarutan sehingga bertahun-tahun lamanya. Apa jadi kepada operasi Syarikat? Dapatkah survival Syarikat dipertahankan dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar sekarang ini?

 

Pewarisan perniagaan bukanlah semata-mata menyentuh tentang siapa yang bakal mewarisi saham itu sahaja, malah lebih kritikal lagi ia juga menentukan hidup mati operasi sesebuah perniagaan.   

 

Apabila saya berbual dengan pemegang saham yang juga merupakan peneraju Syarikat tentang isu ini, mereka tercengang dan terlopong kerana mereka tidak pernah membayangkan isu pewarisan perniagaan ini SANGAT SIGNIFIKAN sehingga mampu menyebabkan Syarikat itu mati sejurus selepas mereka.  

 

Sebagai pemilik saham perniagaan Syarikat Sdn Bhd, anda sudah rancang pewarisan perniagaan anda?

 

 

ariffinsabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas/CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags